BERITA TERKINI   Tuanku Muhriz zahir kepercayaan penuh kepada Menteri Besar baharu dapat laksana tugas dengan bersungguh dan jujur | MB, ADUN mesti hormati dan taat institusi Diraja, pelihara keluhuran pentadbiran dan menjunjung kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan - Tuanku Muhriz | Tuanku Muhriz ingatkan pemimpin elak salahguna kuasa hingga cetus ketidakstabilan, jejas dasar kerajaan negeri | Kerajaan Negeri, ADUN mesti setia dan utamakan rakyat berbanding kepentingan politik atau peribadi - Tuanku Muhriz | Tuanku Muhriz titah ADUN Negeri Sembilan pikul mandat rakyat dengan baik, rangka dasar dan perancangan berpaksi kebajikan rakyat | 

F1 Malaysia Jana Peluang Perniagaan Baharu Untuk PKS Runcit, F&B

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Perbelanjaan pengguna dalam sektor runcit serta makanan dan minuman (F&B), khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dijangka meningkat susulan pertambahan jumlah pengunjung dan permintaan lebih kukuh berikutan penganjuran Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Malaysia.

Presiden Persatuan Peruncit Malaysia Datuk Andrew Lim Tatt Keong berkata selain memberikan rangsangan segera kepada jualan, penganjuran acara berkenaan turut menggalakkan PKS memperkukuh keupayaan dalam bidang seperti pemasaran digital, penglibatan pelanggan dan kecemerlangan perkhidmatan.

Ad Banner

“PKS merupakan komponen penting dalam ekosistem runcit Malaysia, manakala acara antarabangsa berskala besar boleh menjadi platform bernilai untuk menyokong pertumbuhan serta meningkatkan keterlihatan mereka.

“Pengusaha F&B tempatan, peruncit dan penyedia perkhidmatan boleh memanfaatkan peningkatan aliran pengunjung dengan menawarkan pengalaman unik Malaysia, promosi bertemakan perlumbaan, produk eksklusif serta perkhidmatan yang disesuaikan,” katanya kepada Bernama.

Lim berkata perniagaan di dalam dan sekitar lokasi acara turut berpotensi menikmati peningkatan permintaan sepanjang tempoh perlumbaan berlangsung.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata penganjuran acara antarabangsa seperti Formula 1 memberi peluang kepada PKS Malaysia memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada khalayak global.

Katanya, pengunjung antarabangsa lazimnya mencari pengalaman tempatan yang autentik, sama ada menerusi sajian makanan Malaysia, produk keluaran tempatan, tawaran runcit unik mahupun tarikan kebudayaan.

“Pengalaman positif bersama jenama Malaysia mampu meninggalkan kesan mendalam serta menggalakkan kunjungan berulang, pembelian dalam talian dan promosi dari mulut ke mulut,” katanya.

Bagaimanapun, Lim berkata tahap manfaat ekonomi kepada sektor runcit dan F&B bergantung kepada jumlah pengunjung, skala aktiviti berkaitan acara serta tahap penyertaan keseluruhan.

Namun begitu, beliau berkata acara sukan antarabangsa berskala sedemikian secara konsisten menunjukkan kesan gandaan yang kukuh terhadap ekonomi secara lebih meluas.

Peningkatan ketibaan pengunjung dan penyertaan tempatan dijangka meningkatkan jumlah kunjungan serta perbelanjaan di restoran, kafe, premis makanan, pusat beli-belah dan lokasi hiburan, bukan sahaja di sekitar Sepang tetapi turut meliputi pusat bandar Kuala Lumpur, Lembah Klang serta destinasi pelancongan lain.

Pada 26 Julai, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah perlumbaan itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober 2026, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan berkaitan termasuk daripada Majlis Sukan Motor Dunia.

Perlumbaan itu dijadualkan berlangsung antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura dalam kalendar Formula 1.

-- BERNAMA