BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

Harga Rendah Di Platform E-dagang Perlu Dinilai Sebelum Disifatkan Antipersaingan

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Harga rendah bagi barangan yang ditawarkan di platform e-dagang tidak boleh terus disifatkan sebagai amalan penetapan harga predatori atau amalan antipersaingan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli.

Beliau berkata penentuan sama ada sesuatu amalan itu bersifat antipesaingan perlu dibuat berdasarkan fakta, data pasaran dan bukti yang berkaitan.

Ini termasuk menilai struktur kos sebenar, sumber subsidi atau pembiayaan, kedudukan pasaran, tempoh harga rendah ditawarkan serta kesannya terhadap pesaing.

Ad Banner

"Prinsip kerajaan adalah jelas. Malaysia kekal mengamalkan ekonomi pasaran terbuka yang menggalakkan perdagangan, pelaburan, inovasi dan persaingan.

"Persaingan yang sihat memberi manfaat kepada pengguna melalui harga yang lebih kompetitif, pilihan produk yang lebih luas dan peningkatan kualiti perkhidmatan," katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab usul penangguhan Senator Datuk Phoong Jin Zhe yang membangkitkan kebimbangan  kesan platform e-dagang rentas sempadan seperti Pinduoduo dan Temu ke atas ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor peruncitan negara.

Ad Banner

Phoong berkata peniaga tempatan dan persatuan perniagaan berdepan kesukaran bersaing secara adil dengan penjual asing berikutan kos operasi yang lebih tinggi seperti sewa premis, gaji pekerja, caruman statutori, pelepasan kastam dan pelbagai cukai perniagaan.

Marhamah berkata meskipun Malaysia mengamalkan dasar ekonomi pasaran terbuka, ia tidak bermaksud pasaran dibiarkan tanpa kawal selia.

Sebaliknya, kerajaan akan memastikan semua pemain industri, sama ada peniaga tempatan, penjual asing mahupun platform digital, tertakluk kepada undang-undang dan tanggungjawab yang sama bagi mewujudkan persaingan yang adil.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan perdagangan yang bertujuan menyingkirkan pesaing secara tidak adil, menyalahgunakan kedudukan pasaran atau akhirnya memudaratkan pengguna dan ekosistem perniagaan negara.

"Pada masa yang sama, kerajaan bertanggungjawab memastikan pengguna terus menikmati manfaat daripada persaingan yang sihat tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kualiti produk dan hak pengguna serta tidak mengabaikan kepentingan PMKS," katanya.

Sementara itu, Marhamah berkata Jemaah Menteri telah meluluskan dasar untuk menggubal Akta e-Dagang baharu bagi menyediakan kerangka perundangan yang lebih menyeluruh selaras dengan perkembangan ekonomi digital.

Proses itu katanya telah memasuki fasa pelaksanaan dengan penubuhan jawatankuasa pemandu dan jawatankuasa teknikal bagi menyelaras penggubalan akta berkenaan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Beliau berkata, akta itu akan merangkumi aspek tanggungjawab platform e-dagang, transaksi rentas sempadan, pematuhan penjual asing, perlindungan pengguna, ketelusan maklumat penjual dan produk, mekanisme penyelesaian pertikaian serta kaedah penguatkuasaan terhadap entiti yang tidak mempunyai kehadiran fizikal di Malaysia.

-- BERNAMA