BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

Ledakan AI Pacu Banyak Syarikat Malaysia Di Senarai ‘Terbaik Di Bawah Satu Bilion 2026' Forbes Asia 

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 4 Ogos (Bernama) -- Forbes Asia mengumumkan senarai ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion 2026’ yang menampilkan 200 syarikat tersenarai kecil dan sederhana berprestasi terbaik di Asia Pasifik, dengan jumlah syarikat Malaysia dalam senarai itu meningkat lebih dua kali ganda kepada 19.

Menurut Forbes Asia dalam kenyataan hari ini, lebih separuh daripada syarikat Malaysia yang disenaraikan menerima manfaat daripada ledakan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di negara itu.

Ad Banner

"Syarikat kecil dan sederhana yang disenaraikan dalam pengiktirafan itu pada tahun ini berjaya mengharungi cabaran ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran tenaga.

"Senarai kali ini didominasi oleh syarikat yang seiring dengan perkembangan pesat sektor teknologi dan ledakan AI global," menurutnya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, China mencatatkan jumlah syarikat tertinggi yang disenaraikan iaitu 28 syarikat, diikuti India pada kedudukan kedua melibatkan 27 syarikat.

Ad Banner

Syarikat Malaysia Southern Cable Group, pengeluar kabel voltan rendah dan voltan tinggi, membuat kemunculan pertama dalam senarai itu, dengan sokongan perkembangan pesat industri pusat data yang menyumbang sebanyak 15 peratus daripada hasil syarikat berjumlah RM1.8 bilion pada 2025.

Senarai ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion 2026’ menampilkan 200 syarikat tersenarai awam daripada kira-kira 19,000 syarikat di rantau Asia Pasifik yang mempunyai jualan tahunan melebihi US$10 juta (US$1 = RM4.09) dan di bawah US$1 bilion.

Menurut Forbes Asia, syarikat perisian serta pembekal komponen elektronik utama dan peralatan untuk industri semikonduktor menyumbang 25 peratus daripada syarikat yang layak.

"Sebahagian syarikat lain pula memanfaatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu yang semakin berkembang dengan memenuhi permintaan industri yang meningkat terhadap peralatan dan perkhidmatan khusus," menurutnya.

-- BERNAMA