Lebihan Akaun Semasa Malaysia RM10.8 Bilion Pada Suku Kedua 2026 - DOSM
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia mencatatkan lebihan RM10.8 bilion pada suku kedua 2026, terutamanya disokong peningkatan ketara lebihan Akaun Barangan kepada RM40.7 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam statistik imbangan pembayaran bagi suku kedua 2026 yang dikeluarkan hari ini, DOSM memaklumkan lebihan itu mengimbangi kemerosotan Akaun Perkhidmatan yang bertukar kepada defisit RM0.7 bilion daripada lebihan RM6.4 bilion pada suku sebelumnya.
Menurutnya, Akaun Kewangan pula bertukar kepada aliran keluar bersih sebanyak RM27.0 bilion, disumbangkan oleh aliran keluar pelaburan portfolio berjumlah RM35.2 bilion.
“Pelaburan langsung asing (FDI) mengecil kepada aliran masuk bersih RM7.4 bilion, manakala aliran keluar Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) menurun kepada RM7.0 bilion, mencerminkan pengurangan aktiviti pelaburan rentas sempadan oleh syarikat Malaysia,” menurutnya.
DOSM memaklumkan lebihan Akaun Semasa pada suku kedua 2026 disokong permintaan berterusan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum serta mesin, peralatan dan alat ganti, khususnya dari Amerika Syarikat, Singapura dan China.
Dalam pada itu, import barangan meningkat 21.7 peratus suku ke suku kepada RM318.6 bilion, dengan penyumbang utama terdiri daripada barangan perantaraan dan barangan modal, terutamanya dari China, Singapura dan Taiwan.
Sementara itu, Akaun Pendapatan Primer mencatat defisit lebih tinggi sebanyak RM27.2 bilion berbanding suku sebelumnya, sebahagian besarnya dipengaruhi peningkatan pendapatan yang dijana pelabur asing di Malaysia kepada RM47.2 bilion.
Sebaliknya, syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara mencatat pendapatan lebih tinggi sebanyak RM22.8 bilion, susulan peningkatan repatriasi dividen oleh pelabur langsung sepanjang suku tersebut.
“Pada masa yang sama, defisit Akaun Pendapatan Sekunder mengecil kepada RM2.1 bilion daripada RM4.0 bilion pada suku pertama, disokong penerimaan lebih tinggi dari luar negara,” menurut DOSM.
Pada akhir suku kedua 2026, kedudukan terkumpul FDI mencecah RM1.11 trilion, manakala kedudukan DIA berjumlah RM624.9 bilion.
Jumlah aset kewangan negara bernilai RM2.82 trilion, sedikit melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.75 trilion.
“Justeru, Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia mencatat aset bersih RM68.3 bilion, dengan rizab antarabangsa berjumlah RM537.0 bilion pada akhir Jun 2026,” menurutnya.
-- BERNAMA