BERITA TERKINI   Industri seni tidak terurus satu tragedi, tekan kehidupan seniman - PM Anwar | Seni dan budaya bukan alat propaganda picisan dan murahan - PM Anwar | Acuan Timur perlu kekalkan akhlak, bukan neokonservatif - PM Anwar | Negara yang ingin maju harus terima kenyataan generasi muda mahu suasana yang lebih bebas, terbuka - PM Anwar | Jerebu rentas sempadan: Kerajaan hargai Indonesia benarkan rentas ruang udara bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan - Arthur | 

MMHE Catat Lonjakan Untung Bersih Kepada RM60.59 Juta Pada Suku Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) mencatatkan lonjakan untung bersih iaitu sebanyak RM60.59 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2026 daripada RM10.05 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan juga meningkat kepada RM986.72 juta daripada RM431.57 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas, sebahagian besarnya dipacu oleh sumbangan perolehan yang lebih tinggi daripada segmen kejuruteraan berat.

Menurut MMHE, segmen kejuruteraan berat mencatatkan perolehan yang berkembang iaitu sebanyak RM870.2 juta pada suku berkenaan, bertambah sebanyak RM560.2 juta berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Ad Banner

“Peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh projek sedia ada yang memasuki fasa pembinaan lebih tinggi disusuli pemuktamadan projek selepas pelayaran keluar (sail-away).

"Segmen tersebut mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM62.0 juta, menandakan peningkatan sebanyak RM60.5 juta daripada RM1.5 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya,” jelas MMHE dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Prestasi yang lebih kukuh itu terutamanya disebabkan oleh perolehan lebih tinggi yang diiktiraf pada suku berkenaan serta pemuktamadan projek selepas pelayaran keluar yang memberi sumbangan positif.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, MMHE mencatatkan untung bersih sebanyak RM74.88 juta daripada RM22.29 juta sebelumnya manakala perolehan meningkat kepada RM1.5 bilion daripada RM884.67 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

MMHE menyatakan segmen kejuruteraan beratnya akan mengekalkan pendekatan strategik dan selektif bagi meraih nilai perolehan kontrak berkualiti tinggi dalam sektor tenaga konvensional dan baharu, di peringkat domestik serta antarabangsa demi menyokong portfolio yang seimbang selain mengekalkan disiplin pelaksanaan projek yang kukuh.

“Bagi menangani persaingan yang semakin sengit, kumpulan akan kekal memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukannya dalam segmen pasaran yang disasarkan selain bersedia untuk memanfaatkan corak perkapalan serantau yang kian berkembang serta peluang-peluang pasaran baharu,” tambahnya.

-- BERNAMA