BERITA TERKINI   Industri seni tidak terurus satu tragedi, tekan kehidupan seniman - PM Anwar | Seni dan budaya bukan alat propaganda picisan dan murahan - PM Anwar | Acuan Timur perlu kekalkan akhlak, bukan neokonservatif - PM Anwar | Negara yang ingin maju harus terima kenyataan generasi muda mahu suasana yang lebih bebas, terbuka - PM Anwar | Jerebu rentas sempadan: Kerajaan hargai Indonesia benarkan rentas ruang udara bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan - Arthur | 

Untung Bersih Petronas Dagangan Naik Kepada RM387.21 Juta Pada Suku Kedua 2026, Umum Dividen 25 Sen

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd (Petronas Dagangan) meningkat kepada RM387.21 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 (S2 2026) berbanding RM265.53 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Menurut syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, keuntungan bersih yang lebih tinggi pada suku tersebut didorong oleh keuntungan kasar yang lebih tinggi daripada segmen komersial, sebahagiannya diimbangi oleh margin yang lebih rendah daripada segmen peruncitan, ditambah pula dengan perbelanjaan yang lebih tinggi. 

Pendapatan turut melonjak kepada RM16.09 bilion daripada RM9.07 bilion sebelumnya, terutamanya disumbangkan oleh purata harga jualan yang lebih tinggi ditambah pula dengan jumlah jualan yang lebih tinggi. 

Ad Banner

“Hasil segmen peruncitan meningkat RM4.10 bilion atau 85 peratus berikutan purata harga jualan yang lebih tinggi sebanyak 73 peratus dan jumlah jualan sebanyak tujuh peratus. 

“Segmen komersial merekodkan peningkatan dalam hasil sebanyak RM2.92 bilion atau 70 peratus disumbangkan oleh purata harga jualan yang lebih tinggi sebanyak 80 peratus, diimbangi oleh jumlah jualan yang lebih rendah sebanyak enam peratus. 

“Hasil daripada segmen kemudahan yang direkodkan pada suku tersebut berjumlah RM64.9 juta, sedikit lebih tinggi iaitu sebanyak RM700,000 atau satu peratus berbanding suku yang sama tahun lepas,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, keuntungan bersih Petronas Dagangan meningkat kepada RM670.21 juta daripada RM559.03 juta, manakala pendapatan meningkat kepada RM27.24 bilion daripada RM18.16 bilion. 

Mengenai prospek, syarikat itu memaklumkan bahawa perkembangan geopolitik di Asia Barat dijangka terus mempengaruhi pasaran tenaga global dan prospek harga minyak pada separuh kedua 2026. 

“Dalam mengharungi persekitaran ini, kumpulan ini kekal memberi tumpuan untuk melaksanakan keutamaan strategiknya menerusi pengurusan kos yang berdisiplin, kebolehpercayaan bekalan dan penyampaian pengalaman mobiliti serta runcit yang bersepadu. 

“Kumpulan ini akan terus memberi tindakan balas yang proaktif terhadap keadaan pasaran dan dasar kawal selia yang berubah, sambil mengekalkan kecemerlangan operasi  serta daya tahan perniagaan,” tambah syarikat itu.  

Sementara itu, lembaga pengarah telah mengumumkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham biasa berjumlah RM248.36 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026, yang akan dibayar pada 23 September 2026. 

-- BERNAMA