Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Didorong Aktiviti Belian Saham Harga Rendah
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Rabu, didorong aktiviti belian saham pada harga rendah susulan jualan besar-besaran baru-baru ini, menjelang keputusan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.20 mata kepada 1,708.74 berbanding 1,700.54 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.42 mata lebih tinggi pada 1,700.96 dan bergerak antara 1,695.89 hingga 1,709.71 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 746 berbanding 424, manakala 554 kaunter tidak berubah, 1,048 tidak diniagakan dan 17 digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 4.20 bilion unit bernilai RM3.52 bilion daripada 5.52 bilion unit bernilai RM4.42 bilion pada Selasa.
Jawatankuasa Dasar Monetari BNM dijadual bermesyuarat esok, dengan konsensus pasaran menjangkakan OPR kekal pada 2.75 peratus hingga hujung 2026.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata aktiviti belian saham pada harga rendah melibatkan saham wajaran tinggi sektor perbankan dan berkaitan komoditi susulan jualan besar-besaran baru-baru ini.
“Di rantau ini, indeks utama meneruskan penurunan susulan petunjuk negatif daripada pasaran global semalaman, apabila peningkatan hasil bon terus memberi tekanan kepada saham teknologi dan saham berorientasikan pertumbuhan.
“Bagaimanapun, selepas penurunan ketara baru-baru ini, kami menjangkakan aktiviti belian saham pada harga murah boleh terus berlaku pada paras semasa, khususnya dalam saham wajaran tinggi terpilih yang mempunyai penilaian menarik,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata pelabur juga akan memberi perhatian kepada keputusan dasar monetari BNM serta data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang akan datang bagi mendapatkan petunjuk seterusnya mengenai prospek kadar faedah.
Bagi tempoh akan datang, beliau menjangkakan FBM KLCI kekal dalam aliran mendatar ketika pelabur terus menilai perkembangan di Asia Barat dan hala tuju kadar faedah global.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Pakar Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata indeks penanda aras ditutup lebih tinggi, disokong kenaikan saham berkaitan minyak dan perladangan.
Beliau berkata serangan udara terbaharu AS ke atas Iran mendorong harga minyak mentah melonjak dan meningkatkan permintaan terhadap kaunter berkaitan komoditi.
“Harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat melepasi US$92 setong buat seketika, manakala Brent naik kepada sekitar US$97, masing-masing mencapai paras tertinggi sejak akhir Julai sebelum susut daripada paras tersebut,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM10.60 dan Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.93, manakala CIMB Group susut satu sen kepada RM7.84, Tenaga Nasional turun 12 sen kepada RM13.64 dan IHH Healthcare berkurangan tujuh sen kepada RM8.08.
Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI susut 4.5 sen kepada 22 sen, Focus Dynamics tidak berubah pada setengah sen, Ingenieur Gudang naik setengah sen kepada empat sen, Ni Hsin Group menokok 2.5 sen kepada 26.5 sen dan Velesto Energy meningkat 1.5 sen kepada 24.5 sen.
Antara kaunter untung utama, Kuala Lumpur Kepong melonjak 86 sen kepada RM22.70, United Plantations meningkat 74 sen kepada RM32.78, Hengyuan Refining menambah 41 sen kepada RM2.94, Sarawak Oil Palms naik 40 sen kepada RM5.96 dan Perak Corporation melonjak 29 sen kepada 76 sen.
Dalam kalangan kaunter rugi utama, Nestle susut RM2.18 kepada RM96.52, Fraser & Neave Holdings berkurangan 54 sen kepada RM24.74, Malaysian Pacific Industries turun 48 sen kepada RM39.78, Kelington Group susut 27 sen kepada RM8.57 dan Hong Leong Industries merosot 26 sen kepada RM17.58.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 21.82 mata kepada 12,626.83, Indeks FBMT 100 naik 21.60 mata kepada 12,435.44 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 18.37 mata kepada 12,410.35.
Sementara itu, Indeks FBM 70 susut 131.92 mata kepada 17,784.57 dan Indeks FBM ACE turun 24.76 mata kepada 5,161.72.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 40.30 mata kepada 20,078.77, Indeks Perladangan menambah 212.18 mata kepada 9,527.47, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.19 mata kepada 186.78 dan Indeks Tenaga meningkat 12.11 mata kepada 801.95.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.67 bilion unit bernilai RM3.20 bilion berbanding 3.88 bilion unit bernilai RM4.06 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran susut kepada 942.18 juta unit bernilai RM133.94 juta berbanding 1.03 bilion unit bernilai RM143.05 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 592.31 juta unit bernilai RM176.71 juta daripada 601.61 juta unit bernilai RM210.03 juta pada Selasa.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 281.56 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (394.96 juta), pembinaan (127.79 juta), teknologi (1.11 bilion), perkhidmatan kewangan (84.31 juta), hartanah (162.33 juta), perladangan (71.73 juta), amanah pelaburan hartanah (8.65 juta), dana tertutup (93,400), tenaga (212.07 juta), penjagaan kesihatan (72.20 juta), telekomunikasi dan media (22.92 juta), pengangkutan dan logistik (55.27 juta), utiliti (65.83 juta) dan amanah perniagaan (54,000).
-- BERNAMA