BERITA TERKINI   ACLE: JDT 1-1 Buriram United | 

Anak Syarikat Frontken Beli Tanah, Kilang Di Taiwan RM118.16 Juta

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Anak syarikat utama Frontken Corporation Bhd (FCB), Ares Green Technology Corporation (AGTC), akan membeli tanah industri berserta bangunan kilang yang didirikan di atasnya daripada Ginwin Technology Co Ltd dengan nilai tunai RM118.16 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FCB memaklumkan AGTC telah membida hartanah berkenaan yang mempunyai keluasan tanah kira-kira 16,172 meter persegi dan merangkumi tujuh blok bangunan kilang sedia ada dengan jumlah keluasan lantai kira-kira 12,611 meter persegi, terletak di Zon Perindustrian Tainan Xinying, Taiwan.

FCB memaklumkan pemerolehan itu selaras dengan strategi jangka panjang syarikat untuk menyokong pengembangan operasi AGTC serta keperluan kapasiti pada masa hadapan.

Ad Banner

“Pemerolehan itu dijangka memberikan AGTC fleksibiliti lebih besar dalam merancang keperluan operasi masa hadapan yang dijangka, selain mengoptimumkan penggunaan hartanah berkenaan selaras dengan keperluan perniagaan seperti yang ditetapkan pelanggan.

“Memandangkan ketersediaan tanah industri yang sesuai berhampiran kemudahan P1 sedia ada AGTC adalah terhad, pemerolehan itu dijangka menyokong pertumbuhan perniagaan AGTC secara berterusan dalam jangka sederhana hingga panjang,” menurutnya.

-- BERNAMA

Ad Banner