BERITA TERKINI   Tiada keperluan isi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Petaling Jaya – Pengerusi SPR | Cadangan keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen akan dipertimbangkan pada 13 Okt ini - Azalina | Kerjasama FINAS-Jabatan Insolvensi perluas akses penggiat industri kreatif kepada perkhidmatan insolvensi, bantuan guaman dan mediasi - Azalina | Azalina pelawa penggiat industri kreatif teroka potensi Bangunan Sulaiman sebagai lokasi penggambaran | JPJ sedia kaunter Mobile JPJ di KSAB, BSI mudahkan urusan pembayaran saman melibatkan bukan warganegara - Loke | 

LKAN Kesan Kekosongan Perjawatan Home Based Staff Di KBM Jakarta, Beijing Belum Diisi

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mendapati beberapa perjawatan di Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Jakarta, Indonesia dan Beijing, China masih belum diisi mengikut waran perjawatan diluluskan, selain kelemahan dalam pelaksanaan pemeriksaan mengejut di KBM Beijing.

LKAN 2/2026 bagi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendapati kekosongan perjawatan Home Based Staff belum diisi iaitu empat perjawatan di KBM Jakarta dan dua perjawatan di KBM Beijing.

Selain itu, laporan tersebut memaklumkan enam jawatan Kakitangan Ambilan Tempatan belum diisi antara 2017 hingga 2025 di KBM Beijing.

Ad Banner

“Waran Perjawatan merupakan dokumen perundangan yang memberi kuasa bagi menambah atau mengurangkan bilangan jawatan awam atau mengubah tangga gaji gred jawatan yang diperuntukkan di bawah sesuatu maksud perbelanjaan,” menurut laporan itu.

Dalam maklum balas kepada audit, Kementerian Luar (KLN) memaklumkan pihaknya sedang membuat langkah pembetulan penempatan pegawai dengan mengambil kira keperluan operasi semasa dan kekangan sumber bagi memastikan fungsi kritikal tidak terjejas. 

“Satu sesi perbincangan bersama Bahagian Perjawatan dan Organisasi (BPO) diadakan pada 7 Julai 2026 bagi membincangkan cadangan penstrukturan KLN. Dalam sesi berkenaan, pihak BPO mencadangkan agar satu sesi libat urus diadakan antara KLN dan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) bagi membincangkan cadangan tersebut dengan lebih lanjut,” menurut laporan itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

KBM Beijing pula memaklumkan pihaknya telah selesai mengisi jawatan dan melantik satu jawatan Kakitangan Ambilan Tempatan Pegawai Penerbitan/Penterjemah dan satu jawatan Kakitangan Ambilan Tempatan Pemandu Kenderaan pada 3 Nov 2025. 

Bagi satu jawatan Pembantu Am Rendah, dua Pekerja Rendah Awam dan satu Pekerja Rendah Awam/Pembantu Rumah/Tukang Sapu, KBM Beijing berpandangan bahawa belum ada keperluan untuk diisi kerana tugas-tugas tersebut dilaksanakan oleh kontraktor pembersihan dan landskap.

Bagi memastikan perkara sama tidak berulang, KLN disyorkan menyusul isu perjawatan dengan JPA bagi memastikan pengisian perjawatan dibuat mengikut waran yang diluluskan.

“KLN perlu mengambil tindakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk merasionalisasi keperluan perjawatan berdasarkan beban tugas, fungsi dan peranan pejabat perwakilan bagi menjimatkan kos dan mengoptimumkan sumber,” menurut laporan itu. 

Sementara itu, pihak Audit turut mendapati pemeriksaan mengejut di KBM Beijing tidak dilaksanakan secara menyeluruh, sebaliknya hanya melibatkan panjar wang tunai.

Menurut laporan itu, keadaan tersebut tidak selaras dengan Arahan Perbendaharaan (AP) 309 yang menetapkan Ketua Jabatan hendaklah mengadakan pemeriksaan mengejut secara berkala sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan ke atas setiap peti besi, bilik kebal, peti wang tunai, laci atau bekas lain yang menyimpan wang dalam jagaan seseorang pegawai dalam Kementerian/Jabatannya.

LKAN berkata kelemahan berkenaan perlu diberi perhatian bagi memastikan kawalan dalaman dan pengurusan kewangan di pejabat perwakilan Malaysia sentiasa teratur, cekap dan berkesan.

-- BERNAMA