BERITA TERKINI   Tiada keperluan isi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Petaling Jaya – Pengerusi SPR | Cadangan keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen akan dipertimbangkan pada 13 Okt ini - Azalina | Kerjasama FINAS-Jabatan Insolvensi perluas akses penggiat industri kreatif kepada perkhidmatan insolvensi, bantuan guaman dan mediasi - Azalina | Azalina pelawa penggiat industri kreatif teroka potensi Bangunan Sulaiman sebagai lokasi penggambaran | JPJ sedia kaunter Mobile JPJ di KSAB, BSI mudahkan urusan pembayaran saman melibatkan bukan warganegara - Loke | 

Nisbah Defisit Kerajaan Persekutuan Menurun Kepada 3.7 Peratus Pada 2025 - LKAN

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2025 bertambah baik dengan penurunan defisit sebanyak RM3.878 bilion, menjadikan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 3.7 peratus berbanding 4.1 peratus pada 2024.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan berjumlah RM336.069 bilion, meningkat sebanyak RM11.451 bilion berbanding RM324.618 bilion pada 2024.

“Belanja mengurus pada 2025 berjumlah RM330.776 bilion menjadikan lebihan hasil berjumlah RM5.293 bilion, iaitu meningkat sebanyak RM2.184 bilion berbanding RM3.109 bilion pada 2024,” menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Ad Banner

Menurutnya baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan sejumlah RM9.420 bilion juga menunjukkan penurunan sebanyak RM1.118 bilion atau 10.6 peratus berbanding RM10.538 bilion pada 2024.

Laporan itu memaklumkan pinjaman baharu Kerajaan Persekutuan pada 2025 berjumlah RM185.577 bilion, menurun sebanyak RM16.671 bilion atau 8.2 peratus berbanding RM202.248 bilion pada 2024.

“Kadar pertumbuhan Hutang Persekutuan tahunan juga menunjukkan trend penurunan daripada 10.2 peratus pada 2022 kepada 5.9 peratus pada 2025.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Hutang Persekutuan berjumlah RM1,320.776 bilion, meningkat sebanyak RM73.162 bilion atau 5.9 peratus berbanding RM1,247.614 bilion pada 2024," menurut laporan itu.

Dalam syor audit, laporan itu memaklumkan Kerajaan Persekutuan hendaklah memperkukuh mekanisme kutipan hasil melalui langkah yang lebih strategik dan berkesan bagi membolehkannya membiayai perbelanjaan pembangunan secara lebih mampan.

"Langkah itu juga bagi mengurangkan defisit fiskal serta kebergantungan kepada pembiayaan melalui pinjaman baharu.

“Di samping itu, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan yang lebih proaktif hendaklah dilaksanakan bagi mempercepat kutipan Akaun Belum Terima, mengurangkan tunggakan serta meminimumkan keperluan untuk membuat hapus kira yang boleh mengakibatkan kerugian kepada Kerajaan Persekutuan,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA