Niaga Hadapan MSM Dijangka Mencatatkan Trend Penurunan Minggu Depan
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mencatatkan aliran penurunan minggu hadapan berikutan aktiviti pengambilan untung.
Pedagang kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata trend harga menurun itu boleh membantu mengurangkan paras stok minyak sawit Malaysia yang tinggi menjelang pengumuman data bulan September oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Isnin iaitu 12 Oktober.
“Julat dagangan adalah antara RM4,200 hingga RM4,300 satu tan.
“Secara tidak langsung, ia akan membantu mengurangkan sebahagian daripada kedudukan stok kita yang tinggi,” katanya.
Mengenai permintaan fizikal, Teh berkata pembeli dijangka datang dari China, India, Pakistan, Asia Barat, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata sentimen pasaran pada minggu hadapan dijangka lebih berhati-hati, memandangkan pelabur sedang menilai laporan MPOB yang bakal dikeluarkan terutamanya mengenai inventori dan prestasi eksport.
“Kami menjangkakan harga diniagakan antara RM4,500 dan RM4,750 satu tan minggu hadapan,” katanya.
Bagi asas mingguan, kontrak Oktober 2026 meningkat RM8 kepada RM4,362 satu tan, kontrak November 2026 naik RM24 kepada RM4,465 satu tan, dan kontrak Disember 2026 menokok RM57 kepada RM4,592 satu tan.
Kontrak Januari 2027 mengukuh RM82 kepada RM4,709 satu tan, kontrak Februari 2027 meningkat RM101 kepada RM4,810 satu tan dan kontrak Mac 2027 melonjak RM116 kepada RM4,902 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 556,937 lot berbanding 609,973 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka mengukuh kepada 337,867 kontrak daripada 334,658 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan naik RM50 kepada RM4,450 satu tan.
-- BERNAMA