BERITA TERKINI   Tabung Pos ditubuhkan dengan dana RM150 juta di bawah seliaan MCMC, beroperasi suku pertama 2027 – Fahmi | Agong kurnia Darjah Utama Seri Mahkota Negara kepada Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi  | Syed Saddiq, Bella Astillah sah bergelar suami isteri sekitar 10.40 pagi hari ini | Wakil Malaysia, Nur Syakura Mohamad Musa, dinobatkan juara kategori tilawah Al-Quran wanita pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-66 | Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi tiba di Istana Negara pada pukul 10.08 pagi, diberi sambutan negara. | 

Belanjawan 2027 Bakal Perkukuh Tadbir Urus, Akauntabiliti - ICDM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Penekanan kerajaan terhadap integriti dan tadbir urus yang bertanggungjawab dalam Belanjawan 2027 bakal meningkatkan lagi akauntabiliti serta memperkukuh tadbir urus korporat, demikian menurut Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM).

Presiden dan ketua pegawai eksekutif ICDM Jackie Mah berkata langkah-langkah untuk memperkukuh pengawasan terhadap entiti milik kerajaan, meningkatkan ketelusan dalam perolehan awam serta memantapkan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam mencerminkan komitmen kerajaan terhadap tadbir urus yang baik.

"Langkah-langkah ini juga penting untuk memulihkan kepercayaan orang ramai di tengah-tengah beberapa isu penipuan dan tadbir urus yang berlaku sekarang," katanya dalam satu kenyataan.

Ad Banner

Mah berkata cadangan Rang Undang-Undang Entiti Milik Kerajaan merupakan langkah penting ke arah memperkukuh tadbir urus dan pengawasan terhadap entiti yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan wang serta sumber awam.

“Selain itu, kami juga mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion bagi agensi penguatkuasaan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata ekonomi yang berdaya tahan dan institusi berprestasi tinggi dibina atas asas kepimpinan yang berprinsip, pengawasan berkesan serta komitmen terhadap akauntabiliti.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada masa depan, katanya, tadbir urus mesti perlu terus berlandaskan nilai-nilai yang ingin didukung oleh Malaysia.

"Dengan memperkukuh tadbir urus merentas sektor awam dan swasta, Malaysia akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan aspirasinya, meningkatkan kepercayaan orang ramai serta mewujudkan nilai yang berkekalan untuk generasi akan datang," kata Mah.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM459.8 bilion, merangkumi RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus persekutuan dan RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan persekutuan.

-- BERNAMA