BERITA TERKINI   Akta Perkhidmatan Parlimen 2025: Kerajaan harap kebebasan, bidang kuasa Parlimen yang baharu dapat tingkat profesionalisme, adab perbahasan - PM Anwar | Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen tunai janji reformasi, mematangkan demokrasi negara - PM Anwar | Pelabur di Malaysia perlu dinilai berdasarkan kualiti pekerjaan yang diwujudkan dan layanan mereka terhadap pekerja, terutamanya wanita - Tengku Zafrul | Malaysia, Indonesia bincang kerjasama tangani kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan -- Mohamad Hasan | Dewan Rakyat lulus usul lantik empat Ahli Parlimen anggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen | 

EcoSys Catat Prestasi Memberangsangkan Pada Hari Pertama Penyenaraian Di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- EcoSys (Malaysia) Bhd mencatatkan prestasi memberangsangkan pada hari pertama penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, dibuka pada 70 sen, meningkat 159 peratus atau 43 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 27 sen sesaham.

Sebanyak 33.22 juta saham diniagakan pada sesi pembukaan.

Pengarah Urusan Chan Chee Wei berkata penyenaraian itu akan memberikan syarikat platform yang lebih luas untuk memacu pelan pertumbuhannya, selain meletakkan tanggungjawab yang lebih besar ke atas pengurusan untuk memperkukuh tadbir urus korporat dan memberikan nilai kepada pemegang saham.

Ad Banner

“Secara peribadi, saya berpendapat ia bukan sekadar mengenai harga saham, sebaliknya lebih kepada nilai yang dilihat oleh pemegang saham dan pelabur terhadap Ecosys secara keseluruhan,” katanya pada sidang media secara maya yang diadakan bersempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE di sini.

Syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu menyediakan komponen kejuruteraan berketepatan tinggi, modul subpemasangan dan sistem pengurangan untuk industri semikonduktor, dengan perkhidmatan meliputi penyelidikan dan pembangunan, penyesuaian, pemasangan dan penyelenggaraan.

Chan berkata EcoSys akan terus memberi tumpuan kepada membangunkan teknologi inovatif dan penyelesaian kejuruteraan, terutamanya dalam rawatan gas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata syarikat sedang membuat persiapan untuk memperluas segmen gas ketulenan ultra tinggi (UHP) dan operasi pengurangan pelepasan gas bagi memenuhi permintaan pasaran yang dijangka meningkat.

Bagi segmen UHP, katanya syarikat merancang untuk meningkatkan hampir dua kali ganda saiz bilik bersihnya, dengan projek itu dijangka siap pada akhir tahun ini.

“Dengan langkah itu, kami akan berada pada kedudukan yang baik untuk bergerak seiring dengan pertumbuhan pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu,” katanya.

Prestasi EcoSys yang memberangsangkan pada hari pertama penyenaraiannya menyusuli permintaan kukuh terhadap saham syarikat itu semasa IPO, dengan bahagian diperuntukkan kepada orang awam mencatatkan lebihan langganan lebih 200 kali manakala saham yang diperuntukkan kepada pelabur terpilih telah dilanggan sepenuhnya.

Syarikat meraih RM39.34 juta daripada IPO, yang akan disalurkan bagi tujuan pengembangan dan operasi.

M&A Securities Sdn Bhd sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd sebagai penasihat kewangan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


NPK NPK HKY NJ