Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Meningkat Berhati-hati Minggu Depan
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka diniagakan dengan kecenderungan meningkat secara berhati-hati minggu depan berikutan penilaian yang lebih menarik, mendorong aktiviti pembelian saham murah secara selektif dalam persekitaran sentimen pelabur tidak menentu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan aktiviti pembelian saham pada harga rendah akan meningkat secara beransur-ansur minggu depan memandangkan pelabur menilai semula penilaian pasaran; namun tekanan jualan berterusan daripada pelabur asing serta keadaan luaran yang tidak menentu mungkin mengekang pemulihan tersebut.
“Kami menjangkakan FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,600-1,630 minggu depan, dengan sokongan daripada kecairan domestik, manakala potensi kenaikan pula didorong oleh minat baharu daripada pelabur institusi.
“Bagaimanapun, pemulihan lebih menyeluruh memerlukan penyertaan pasaran yang lebih luas, bukan sekadar tertumpu kepada saham berwajaran tinggi tertentu sahaja,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd, Kenneth Leong berkata paras rintangan terdekat berada pada tahap 1,630 dan 1,640 mata.
Beliau berkata paras sokongan terdekat pula dilihat berada pada tahap psikologi 1,600, diikuti oleh paras 1,580 mata.
Kontrak niaga hadapan FBM KLCI kebanyakannya ditutup lebih tinggi pada minggu ini, seiring dengan pergerakan prestasi asas pasaran tunai.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak Oktober 2026 dan November 2026 susut 8.0 mata masing-masing kepada 1,599.5 dan 1,601.0, Disember 2026 dan Mac 2027 berkurangan 8.5 mata masing-masing kepada 1,606.5 dan 1,592.0.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 33,167 lot daripada 38,472 minggu lepas, manakala kepentingan terbuka naik kepada 47,020 kontrak pada Jumaat berbanding 46,870 kontrak seminggu sebelumnya.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 0.69 mata kepada 1,607.76 daripada 1,608.45 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA