BERITA TERKINI   BNM kenakan penalti kewangan pentadbiran berjumlah RM113,100 terhadap TML Remittance Center Sdn Bhd kerana kegagalan mematuhi keperluan usaha wajar pelanggan | BNM kenakan penalti kewangan pentadbiran berjumlah RM276,000 setiap satu ke atas AmBank dan AmBank Islamic kerana kegagalan mengemukakan laporan ambang tunai dengan segera. | Siaran langsung serangan terhadap guru di Sarawak: MCMC teliti tindakan ke atas Facebook jika berlaku pelanggaran garis panduan, undang-undang - Fahmi | MCMC minta 47,412 kandungan bersifat buli siber diturunkan sejak Jan hingga semalam, 81 peratus daripada platform TikTok - Fahmi | PRN Sarawak: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN - Pengerusi GPS | 

SIC Kaji Semula Harga Tiket MotoGP, Caj Sewaan Litar Bagi Tingkatkan Perolehan -- CEO

Oleh Siti Radziah Hamzah

SEPANG, 28 Okt (Bernama) -- Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang meneliti kemungkinan menyemak semula harga tiket MotoGP dan caj sewaan litar bagi meningkatkan perolehan, menampung kos operasi yang kian meningkat serta membantu membiayai bahagian yuran hak penganjuran kejuaraan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azhan Shafriman Hanif berkata litar berkenaan juga akan membangunkan sumber pendapatan tambahan di tengah-tengah peningkatan kos operasi.

Ad Banner
Ad Banner

“Harapan kami adalah untuk menyemak semula harga berkenaan dan memastikan sebarang kenaikan tidak terlalu membebankan peminat. Namun, kami perlu menyemak semula harga kerana kos kami telah meningkat.

“Kali terakhir semakan harga, saya rasa, adalah pada 2022 iaitu selepas COVID-19. Kita juga perlu melihat bidang lain di sekitar SIC yang boleh menjana perolehan bagi menampung kenaikan yuran hak penganjuran yang perlu kita bayar pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini hari ini.

MotoGP di SIC telah menjadi acara tetap dalam kalendar perlumbaan sejak 1999 kecuali pada 2020 dan 2021 apabila perlumbaan itu dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada Julai lepas, Kementerian Belia dan Sukan mengumumkan lanjutan tempoh lima tahun bagi Malaysia untuk menjadi tuan rumah MotoGP dari 2027 hingga 2031, melibatkan anggaran jumlah pembiayaan sebanyak RM457 juta.

Di bawah aturan perkongsian kos secara berperingkat, SIC akan menanggung 10 peratus daripada kos tahunan penganjuran dan pengendalian pada 2027, meningkat kepada 50 peratus menjelang 2031 bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pembiayaan Kerajaan Persekutuan.

Menurut Azhan Shafriman, sebelum ini kerajaan menanggung sepenuhnya yuran hak penganjuran sedangkan sebahagian besar manfaat ekonomi daripada acara itu dinikmati oleh hotel, perniagaan makanan dan minuman, penyedia logistik serta pembekal tempatan.

Beliau berkata pendapatan langsung SIC daripada acara itu diperoleh melalui jualan tiket, perkhidmatan hospitaliti, jualan runcit serta aktiviti komersial lain di dalam kawasan litar.

Mengenai harga tiket, Azhan Shafriman memberitahu penambahbaikan pengalaman penonton perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang kenaikan harga dipertimbangkan.

“Kami merancang untuk menaikkan harga tiket beberapa tahun lepas, tetapi kami berpendapat bahawa mutu produk perlu ditambah baik terlebih dahulu sebelum harga tiket dinaikkan. Kami boleh mengambil iktibar daripada pengalaman mengendalikan Formula Satu (F1).

“Banyak perkara yang diminta oleh pihak F1 untuk kami sediakan termasuk skrin gergasi, sistem bunyi, akses kepada air minuman dan tempat berteduh. Perkara-perkara inilah yang akan kami teliti sebelum menaikkan harga tiket MotoGP,” katanya.

Pihak litar akan menilai prestasi pelbagai kategori tiket manakala kadar kenaikan harga, jika ada, masih dalam penelitian.

Mengenai sewaan litar, Azhan Shafriman berkata peningkatan kos menjejaskan margin keuntungan dengan kadar sewaan semasa sekitar RM70,000 hingga RM80,000 sehari termasuk khidmat marshal dan kemudahan litar.

SIC akan mengambil kira keperluan penganjur acara tempatan di Malaysia serta membandingkan kadar sewanya dengan kadar yang ditetapkan oleh litar tempatan dan antarabangsa.

“Apa yang perlu kita ketahui ialah perbandingan dengan litar di rantau ini dan juga litar antarabangsa. Berapakah kadar yang mereka kenakan? Berapakah kadar yang kita kenakan? Ini kembali kepada nilai yang ditawarkan dan sama ada nilai yang kami sediakan setimpal dengan bayaran yang dikenakan,” katanya.

SIC juga berusaha meminimumkan pemberian diskaun dengan menawarkan kemudahan tambahan sebagai alternatif selain mempertimbangkan sokongan kepada pelanggan setianya yang telah lama menggunakan kemudahan litar berkenaan.

“Sudah tentu akan ada pelanggan yang tidak berpuas hati apabila kami menaikkan harga. Namun, saya berpendapat semua pihak perlu memahami bahawa kami menjalankan perniagaan dan pada tahap tertentu, kami perlu memastikan kelangsungan operasi pada tahun-tahun akan datang.

“Jika kami terus mengekalkan harga dan tawaran yang sama, saya rasa SIC tidak akan mampu bertahan. Kami akan meneliti nilai yang kami tawarkan kepada pelanggan,” katanya.

Azhan Shafriman turut menjangkakan perubahan kepada model perniagaan MotoGP di bawah pengurusan baharunya, khususnya dari segi penglibatan peminat dan usaha menarik penonton di luar kelompok peminat tradisionalnya.

Liberty Media Corp yang berpangkalan di Amerika Syarikat melengkapkan pengambilalihan Dorna Sports SL, pemegang hak komersial MotoGP, pada Julai 2025.

“Sejak kebelakangan ini, kita melihat peminat yang hadir menyaksikan F1 bukanlah peminat tegar F1 atau sukan permotoran. Inilah yang cuba ditangani oleh MotoGP iaitu bagaimana untuk menarik lebih ramai penonton ke perlumbaan MotoGP,” katanya.

Azhan Shafriman merujuk kepada perkembangan F1 selepas pengambilalihan oleh Liberty Media dan berkata MotoGP sedang mengambil pendekatan yang serupa.

“Banyak perancangan MotoGP yang telah saya dengar. Berkemungkinan kita akan menyaksikan versi MotoGP bagi siri Drive to Survive di Netflix dalam beberapa tahun akan datang. Usaha MotoGP untuk mendekati peminat juga akan menyamai pendekatan yang digunakan oleh F1,” tambah beliau.

Beliau berkata penonton tempatan lazimnya merangkumi kira-kira 70 peratus daripada jumlah kehadiran. Sebaliknya, pengunjung antarabangsa menyumbang sekitar 20 hingga 30 peratus dengan Thailand, Singapura dan Indonesia menjadi tiga negara sumber utama.

Azhan Shafriman berkata pembahagian sama rata di antara penonton tempatan dengan asing dalam tempoh lima tahun akan datang merupakan sasaran yang ideal.

“Kami perlu berusaha keras untuk menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa. Kami perlu bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia dan MotoGP untuk mempergiat promosi bagi menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia,” katanya.

Selain menyemak harga, pelan induk SIC bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang bertujuan menarik pelabur untuk membangunkan kemudahan di sekitar litar, disokong oleh perjanjian pajakan kecil tanah yang dimeterai dengan Malaysia Airports.

Azhan Shafriman memaklumkan hasil daripada pembangunan tersebut akan membantu menampung pembayaran yuran hak penganjuran pada masa hadapan dengan sebuah hotel serta fasiliti penyimpanan kenderaan selamat antara projek yang sedang dipertimbangkan.

-- BERNAMA