BERITA TERKINI   ACL2: Gangwon FC 1-0 Kuching City FC | MY EG turut dikenakan tindakan saman sivil oleh kerajaan Malaysia berhubung perkara ini - Zetrix AI | MY EG Sdn Bhd terima taksiran cukai pendapatan tambahan daripada LHDN berjumlah RM353.13 juta, termasuk penalti, bagi tahun taksiran 2021, 2022 dan 2023 - Zetrix AI | Pemeteraian CSA Kerajaan MADANI dengan Bersatu dan pembangkang jadi landasan perkukuh kestabilan politik, agenda pembangunan negara - Anwar | Laporan kaitkan JCorp dengan kebakaran hutan di Indonesia tidak berasas, palsu - MB Johor | 

Parkland Terima Kelulusan SC Disenarai Di Pasaran Utama

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pemaju hartanah Parkland Bhd menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) dan cadangan penyenaraian sahamnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Syarikat itu membangunkan perbandaran bersepadu serta projek hartanah di Johor, Melaka dan Selangor, dengan disokong oleh keupayaan pembinaan dalaman, menurut kenyataan syarikat berkenaan.

IPO Parkland akan merangkumi 621.54 juta saham, mewakili kira-kira 26.3 peratus daripada modal saham terbitannya yang diperbesarkan kepada 2.36 bilion saham selepas penyenaraian.

Ad Banner
Ad Banner

Ia terdiri daripada terbitan awam sebanyak 468.14 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 153.40 juta saham sedia ada.

Di bawah IPO itu, sebanyak 550.74 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih serta pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Bagi baki 70.80 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui proses undian dan pekerja yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“ Hasil daripada terbitan awam ini akan digunakan untuk memperoleh bank tanah dan membiayai modal kerja bagi projek-projek pembangunan Parkland,” tambah syarikat itu.

Kumpulan itu telah melancarkan projek bandar bersepadu dan pembangunan hartanah secara berasingan dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM7.4 bilion bagi fasa yang telah dilancarkan, selain mengekalkan perancangan projek pembangunan bernilai RM5.05 bilion, dengan kira-kira 75.5 peratus daripadanya terletak di Johor setakat 25 Mei, 2026.

Ia memaklumkan kumpulan itu turut menceburi sektor tenaga boleh baharu melalui usaha sama (JV) dengan Xinyi Power Station Development (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat Xinyi Energy Holdings Ltd yang tersenarai di Hong Kong.

Usaha sama itu memperoleh projek pembangunan loji solar berskala besar berkapasiti 99.99 megawatt di Tangkak, Johor, yang dijangka memulakan operasi komersial pada suku pertama 2027.

Hong Leong Investment Bank Bhd ialah penasihat utama IPO itu dan bersama-sama AmInvestment Bank Bhd, bertindak sebagai ejen penempatan bersama dan penaja jamin bersama.

-- BERNAMA