Pelaburan US$15 Bilion Google Bakal Sumbang US$1.1 Bilion Setiap Tahun Kepada KDNK
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pelaburan Google sebanyak US$15 bilion (US$1 = RM4.07) di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang dijangka menyumbang purata US$1.1 bilion setiap tahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sepanjang fasa pembinaan selain menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setiap tahun.
Presiden dan ketua pegawai pelaburan Alphabet dan Google Ruth Porat berkata pelaburan tersebut yang merangkumi tempoh dua tahun iaitu 2027 dan 2028, akan memperluas infrastruktur digital syarikat melalui kampus pusat data baharu di Selangor dan Negeri Sembilan.
Perluasan ini adalah susulan pembinaan kampus pusat data pertama Google di Elmina Business Park, Selangor, yang kini telah beroperasi sepenuhnya.
“Saya amat berbesar hati untuk meneruskan usaha tersebut dan mengumumkan pelaburan sebanyak US$15 bilion di Malaysia.
"Kami amat teruja untuk meluaskan infrastruktur digital kami di sini dengan melabur dalam pengurusan sumber dan inisiatif tenaga bersih, serta program peningkatan kemahiran baharu, demi membuka ruang peluang ekonomi bagi rakyat Malaysia di seluruh negara," katanya.
Porat berkata demikian pada program Google Mantap Malaysia Bersama AI 2026 yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Beliau berkata fasa pembinaan itu juga dijangka menjana purata pendapatan buruh tahunan sebanyak US$378 juta, di samping menyokong 6,000 pekerjaan dalam sektor pembinaan.
Apabila beroperasi kelak, kemudahan ini diunjurkan menyokong lebih 9,000 pekerjaan tempatan secara berterusan setiap tahun, dengan purata gaji 45 peratus lebih tinggi daripada median nasional.
Ini merangkumi jawatan pakar seperti juruteknik pusat data, jurutera mekanikal, jurutera elektrikal, pengurus operasi logistik serta pengurus keselamatan fizikal.
Google juga bekerjasama dengan lebih daripada 80 entiti Malaysia dalam bidang pembinaan, kejuruteraan awam, infrastruktur rangkaian, sistem kuasa dan penyejukan, logistik, serta perkhidmatan sokongan lain untuk membangun dan mengendalikan infrastrukturnya.
Kerjasama ini dijangka membolehkan pembekal domestik meningkatkan keupayaan mereka serta bergerak ke peringkat yang lebih tinggi dalam rantaian nilai, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Porat berkata infrastruktur pengkomputeran syarikat itu juga akan menyokong wilayah Google Cloud yang bakal dilancarkan di Malaysia, sekali gus menyediakan keupayaan kepada pelanggan perusahaan untuk membangun serta memperluas aplikasi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang canggih.
Antara organisasi yang menggunakan keupayaan Google Cloud ialah Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Muamalat Malaysia Bhd, AirAsia, Gamuda Bhd dan Hong Leong Bank Bhd.
Mengenai pembangunan bakat, beliau berkata, Google akan menyediakan pembiayaan bagi empat program baharu yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, dengan tumpuan diberikan kepada golongan pendidik dan belia, usahawan mikro, penjawat awam, serta pencari kerja dalam bidang vokasional.
Inisiatif tersebut merangkumi usaha memajukan literasi AI di bilik darjah di seluruh negara, membantu perniagaan tempatan menjangkau lebih ramai pelanggan melalui platform digital, melengkapkan penjawat awam dengan kemahiran AI serta peralatan produktiviti, dan mempersiapkan pencari kerja untuk pekerjaan di pusat data.
Google juga merancang menubuhkan Institut Pusat Data di politeknik terpilih di Selangor dan Negeri Sembilan mulai 2027, dengan menawarkan program latihan selama 10 minggu yang diterajui oleh industri bagi mempersiapkan bakat tempatan untuk melaksana dan mengoperasikan pusat data.
Mengenai tenaga, Porat berkata Google merancang untuk menambah lebih daripada satu gigawatt (GW) kapasiti tenaga bersih kepada grid kebangsaan Malaysia di samping inisiatif untuk memperkukuh daya tahan grid serta memastikan harga elektrik kekal mampu dibayar.
Berteraskan kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd, inisiatif ini akan membantu memudahkan pembangunan kemudahan penjanaan tenaga bersih baharu di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat Malaysia (CRESS).
Kerjasama tersebut juga akan meneroka projek tenaga bersih yang boleh dibekalkan sepanjang masa bagi memastikan bekalan elektrik yang terjamin, walaupun sumber tenaga boleh baharu seperti tenaga solar bersifat tidak menentu.
Porat berkata Google akan menanggung 100 peratus kos elektrik yang digunakan oleh kampus pusat datanya serta kos infrastruktur langsung yang diperlukan untuk menyambungkannya ke grid, selaras dengan peraturan tempatan yang berkenaan.
Syarikat itu juga merancang untuk melabur dalam inisiatif berasaskan komuniti mulai 2027 bagi memperkukuh daya tahan grid serta membantu mengurangkan bil elektrik isi rumah di negeri-negeri yang menempatkan infrastrukturnya.
Berhubung kelestarian air, Google memperluas kerjasamanya dengan Global Environment Centre untuk melaksanakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi di lembangan Sungai Buloh dan Sungai Selangor, termasuk tanah lembap buatan, kejuruteraan biologi tebing sungai, serta pemantauan pencemaran di kawasan tadahan bagi meningkatkan kualiti air mentah dan memperkukuh keterjaminan air.
Syarikat itu juga akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mewujudkan kemudahan berdaya tahan bekalan air di empat buah sekolah di Selangor, yang dilengkapi dengan sistem penuaian air hujan serta tangki simpanan berkapasiti 20,000 liter.
Setiap sekolah akan mempunyai kapasiti bekalan air kecemasan yang mencukupi untuk menampung sehingga 2,000 ahli komuniti bagi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu sekiranya berlaku gangguan bekalan air yang tidak dirancang.
Porat berkata pendekatan Google dalam pengembangan infrastrukturnya adalah berlandaskan pelaksanaan yang bertanggungjawab serta pelaburan dalam sumber tambahan, selari dengan pertumbuhan operasi digitalnya.
"Kami menggelarnya BYOP: Bring Your Own Power (Bawa Bekalan Tenaga Anda Sendiri)," katanya yang merujuk kepada pendekatan Google untuk melabur dalam kapasiti tenaga tambahan seiring dengan pengembangan infrastrukturnya.
Beliau turut mengetengahkan potensi kecerdasan buatan (AI) dalam memajukan penyelidikan saintifik, dengan merujuk kepada penyelidik Malaysia yang menggunakan teknologi AlphaFold daripada Google untuk lebih memahami bakteria penyebab melioidosis, sejenis penyakit berjangkit, serta mempercepat penyelidikan ke arah penghasilan rawatan dan vaksin yang berkesan.
AlphaFold, yang meramalkan struktur tiga dimensi protein, kini digunakan oleh lebih daripada tiga juta penyelidik di 190 buah negara, termasuk 85,000 penyelidik di seluruh Asia Tenggara, katanya.
-- BERNAMA