BNM Sedia Langkah Kawal Selia Bagi Memastikan Daya Tahan Siber Institusi Kewangan
Oleh M. Saraswathi dan Karina Imran
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan keperluan kawal selia bagi memastikan institusi kewangan mengekalkan langkah perlindungan keselamatan siber yang mencukupi dan terus memperkukuh pertahanannya, kata Gabenornya Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Perkembangan itu susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menegaskan bahawa Malaysia perlu terus berwaspada terhadap ancaman siber yang semakin meningkat berikutan siri serangan siber yang dilaporkan di seluruh dunia sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kelemahan infrastruktur digital kritikal termasuk sektor kewangan.
Abdul Rasheed menegaskan bahawa keselamatan siber sentiasa menjadi keutamaan berikutan ia merupakan asas kepada keyakinan dan boleh memberi implikasi terhadap kestabilan kewangan.
"Kami menjangkakan institusi kewangan mengambil pendekatan proaktif dan menyeluruh terhadap keselamatan siber, dengan melaksanakan langkah kukuh untuk mencegah insiden siber serta mengesan dan membendung ancaman dengan segera," katanya kepada Bernama.
Abdul Rasheed berkata BNM sentiasa menyemak dan mengemas kini garis panduan, kawal selia, keperluan serta piawaian bagi memastikan institusi kewangan terus mempunyai keupayaan untuk menangani ancaman siber yang baru muncul.
Pengaturan dan platform pelaporan insiden turut disediakan bagi membolehkan bank pusat dan institusi kewangan bertukar-tukar maklumat mengenai risikan ancaman sekali gus membantu mengenal pasti ancaman yang baru muncul lebih awal serta mengurangkan risiko penularan ancaman dalam sektor kewangan.
Beliau berkata dokumen dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) BNM mewajibkan institusi kewangan menjalankan "latihan simulasi serangan siber" pada setiap tahun.
Latihan itu bertujuan menguji sistem bank, mengenal pasti kelemahan dan memastikan institusi berkenaan mampu mengekalkan daya tahan operasi walaupun sistem mereka diceroboh.
Beliau berkata kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan siber perlu melibatkan semua institusi kewangan tanpa mengira saiznya berikutan kelemahan pada sesebuah institusi berpotensi mendedahkan keseluruhan sistem kewangan kepada risiko serangan.
"Dalam keselamatan siber, kelemahan pada satu pihak boleh menjejaskan semua pihak kerana entiti dalam sistem ini saling berhubung. Malah, sebuah bank yang kecil juga boleh menimbulkan risiko kepada keseluruhan sistem kewangan," katanya.
Sekiranya berlaku serangan, keutamaan segera adalah untuk membendung ancaman dengan mengasingkan sistem yang terjejas, memutuskan sambungan sekiranya perlu dan menjalankan pemeriksaan bagi meminimumkan risiko penularan kepada sistem atau institusi lain.
Beliau berkata institusi yang terjejas mungkin perlu menggantung sementara operasi dalam talian tertentu sementara siasatan dan penilaian keselamatan dijalankan sebelum perkhidmatan dapat disambung semula dengan selamat.
Beliau berkata BNM menjangkakan institusi kewangan dapat memulihkan operasi dengan gangguan minimum di samping memastikan maklumat pelanggan terus dilindungi.
-- BERNAMA