Tidak Pernah Beri Kelulusan Kepada Megaspeed, Speedmatrix, Lawatan Ke Pusat Data Sebahagian Pemantauan Rutin - MITI
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak pernah memberikan kelulusan kepada Megaspeed International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura atau syarikat sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd, dengan lawatan ke pusat data merupakan sebahagian daripada pemantauan rutinnya.
Menurut MITI dalam kenyataan hari ini, sebarang lawatan pengesahan yang dijalankan oleh kementerian di kemudahan ini adalah sebahagian daripada pemantauan berkala terhadap sektor pusat data dan tidak boleh ditafsirkan sebagai sesebuah syarikat telah mendapat kelulusan.
“Sebarang dakwaan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak tepat.
“Sebagai penyewa pusat data di Malaysia, Speedmatrix membawa masuk pelayan dan cip kecerdasan buatan (AI) milik sendiri ke negara ini untuk tujuan operasi dan kemasukan cip AI ke Malaysia pada masa ini tidak memerlukan permit atau lesen,” menurut MITI.
-- BERNAMA