MPM Berusaha Percepat Monetisasi Sumber Minyak Dan Gas Menerusi Transformasi Industri

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) mempergiat usaha untuk mempercepat monetisasi sumber minyak dan gas (O&G) negara dengan menambah baik persekitaran pelaburan serta memacu transformasi industri.

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir Dr Bacho Pilong berkata hal ini berikutan cabaran penerokaan yang semakin meningkat dan permintaan tenaga global yang terus berkembang.

Menurutnya, keperluan untuk mempercepat pembangunan sumber semakin mendesak apabila industri huluan O&G berdepan dengan kemerosotan pengeluaran daripada medan sedia ada, tempoh pembangunan yang lebih panjang serta aktiviti penerokaan yang semakin kompleks dan memerlukan kos lebih tinggi.

Ad Banner
Ad Banner

“Pengeluaran semakin merosot, tempoh pembangunan semakin panjang dan penemuan sumber baharu semakin sukar. Apabila rizab terbukti semakin susut, aktiviti penerokaan menjadi semakin mencabar dan mahal.

“Takungan minyak dan gas baharu terletak lebih dalam, mempunyai kandungan bahan cemar yang lebih tinggi serta struktur geologi yang lebih kompleks manakala kawasan penerokaan baharu negara sebahagian besarnya masih belum diterokai dengan data yang terhad dan analisis geologi yang belum menyeluruh.

“Keadaan ini mengukuhkan keperluan untuk merealisasikan potensi kepada pulangan dengan lebih pantas selain mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif bagi mempercepat monetisasi sumber,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan dan Pameran Geosains Petroleum Asia (APGCE) 2026 di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bertemakan "Geoscience Across Life of Field: From First Discovery to Last Recovery", program berkenaan berjaya menarik kira-kira 2,000 peserta termasuk pemimpin industri, golongan profesional, penyedia teknologi dan ahli akademik.

Sementara itu, Bacho berkata usaha mempercepat pembangunan sumber juga penting bagi menyokong aspirasi Petronas untuk mengekalkan pengeluaran O&G Malaysia pada kira-kira dua juta tong setara minyak sehari (mmboe/d) sehingga 2028, disokong oleh pelaburan berterusan dalam aktiviti penerokaan, pembangunan laut dalam dan peningkatan perolehan minyak (EOR).

Beliau memaklumkan industri perlu menerima pakai pendekatan dan teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan penerokaan, mempercepat pembangunan projek serta mengoptimumkan pengeluaran sumber yang semakin mencabar dan memerlukan kos tinggi untuk dibangunkan.

“Bagi industri kita, ini bermakna kita tidak boleh terus bergantung pada pendekatan lama untuk menyelesaikan cabaran masa hadapan. Seiring dengan perubahan landskap industri, kita juga perlu berubah,” katanya.

Antara pemangkin utama perubahan ini ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital canggih bagi meningkatkan pemahaman terhadap struktur bawah permukaan bumi, mempertingkat keupayaan penerokaan serta mempercepat proses membuat keputusan pelaburan.

Beliau memberitahu MPM sedang mempertingkat penggunaan AI Agentik dalam platform myPROdata bagi mengintegrasi dan menganalisis maklumat geologi, geofizik dan kejuruteraan sekali gus membolehkan pelabur serta pemain industri menilai prospek penerokaan, sumber yang telah ditemui dan peluang pembangunan dengan lebih cekap.

Inisiatif itu bertujuan menyokong keputusan pelaburan yang lebih pantas dan berasaskan maklumat lebih menyeluruh, meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dalam sektor huluan O&G serta memendekkan tempoh dari penemuan sumber sehingga pengeluaran pertama hidrokarbon.

Sementara itu, beliau berkata peningkatan permintaan tenaga khususnya di seluruh Asia dijangka membuka lebih banyak peluang kepada industri O&G meskipun usaha memenuhi keperluan masa hadapan memerlukan pelaburan berterusan dan daya tahan bekalan yang lebih kukuh.

“Permintaan tenaga terus meningkat. Pada 2025 sahaja, ekonomi sedang membangun menyumbang kira-kira 80 peratus daripada peningkatan penggunaan elektrik dunia. Permintaan itu sudah wujud dan akan terus berkembang,” kata Bacho.

Jelasnya, pihak berkepentingan semakin menuntut bekalan tenaga yang dapat disalurkan dengan lebih pantas pada kos lebih berpatutan dan secara selamat selain mengurangkan pelepasan karbon secara berperingkat.

“Walaupun industri kita berdepan ketidaktentuan, pihak berkepentingan memerlukan bekalan tenaga yang dapat disalurkan dengan lebih pantas, lebih murah, lebih selamat serta dengan pelepasan karbon yang semakin rendah secara berperingkat,” katanya.

Merujuk unjuran S&P Global yang dibentangkan pada sidang kemuncak Persatuan Pengeluar Minyak dan Gas Antarabangsa (IOGP) sebelum ini, Bacho berkata antara enam juta hingga 14 juta tong minyak sehari perlu diperoleh daripada penemuan baharu yang masih belum dikenal pasti mulai sekitar 2030 bagi memenuhi permintaan masa hadapan.

Beliau berkata unjuran itu menggariskan keperluan mendesak untuk mempercepat aktiviti penerokaan dan pembangunan, khususnya apabila sumber sedia ada semakin susut dan penemuan baharu menjadi semakin mencabar.

Menurut Bacho keterjaminan tenaga juga perlu diperkukuh menerusi kepelbagaian sumber dan daya tahan bekalan ketika industri global berdepan cabaran yang saling berkait termasuk ketidaktentuan geopolitik, gangguan bekalan dan peralihan tenaga yang terus berkembang.

Pada masa sama, Bacho menjelaskan MPM akan menerbitkan edisi terbaharu Petroleum Geology of Malaysia pada 2027 iaitu kemas kini yang sekian lama dinantikan bagi buku rujukan utamanya yang diterbitkan pada 1998, Petroleum Geology and Resources of Malaysia bagi mengetengahkan penemuan dan pemahaman baharu mengenai lembangan petroleum negara.

-- BERNAMA