Citaglobal, TNB GENCO, TIZA AI Teroka Bekalan Elektrik Luar Grid Untuk Pusat Data AI Gebeng
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Citaglobal Bhd, Citaglobal New Energy Sdn Bhd (CGNE), akan bekerjasama dengan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB GENCO) dan TIZA AI Sdn Bhd (TIZA AI) untuk membangunkan penyelesaian bekalan elektrik luar grid bagi cadangan pembangunan kampus pusat data kecerdasan buatan (AI).
Citaglobal dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa CGNE telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TNB GENCO dan TIZA AI.
Menerusi MoU itu, CGNE dan TNB GENCO akan bersama-sama membangunkan penyelesaian bekalan elektrik khusus di luar grid bagi kampus pusat data AI berkenaan, manakala TIZA AI akan membangunkan kampus itu di atas tanah milik Citaglobal di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal serta TIZA AI Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata Pahang berpotensi muncul sebagai destinasi utama baharu bagi pusat data di Malaysia.
“Hab pusat data AI itu berpotensi menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta membuka peluang kepada kontraktor, pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan.
“Seiring dengan itu, kami berhasrat membangunkan saluran bakat tempatan serta ekosistem AI dan digital di sekitar Gebeng supaya manfaatnya dapat dinikmati negeri ini dan penduduknya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kerjasama dengan TNB GENCO dan CGNE menggabungkan kepakaran yang diperlukan untuk menyediakan bekalan elektrik khusus yang boleh dipercayai, selaras dengan pembangunan hab pusat data AI itu secara berperingkat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd Datuk Seri Shamsul Ahmad berkata kesiapsiagaan tenaga perlu dipertingkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital negara ketika Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab digital dan AI serantau.
“Tanggungjawab TNB bukan sekadar memenuhi permintaan elektrik semasa, tetapi turut menjangkakan keperluan masa hadapan serta menyediakan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai, berdaya tahan dan berskala bagi membolehkan industri baharu berkembang maju.
“Menerusi TNB GENCO, kami memanfaatkan kepakaran luas dalam penjanaan tenaga untuk meneroka penyelesaian tenaga inovatif dan bersepadu yang mengimbangi aspek kebolehpercayaan, kemampuan kos dan kemampanan,” katanya.
TIZA AI merupakan pemegang kelulusan Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) bagi pembangunan hab pusat data AI berkenaan.
Kelulusan yang dimaklumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 7 Sept 2026 itu menetapkan bahawa keperluan bekalan elektrik kampus pusat data AI berkenaan, sehingga 1,300 megawatt (MW), perlu dipenuhi menerusi bekalan luar grid.
Citaglobal memaklumkan MoU itu sah selama setahun dan menyediakan rangka kerja bagi pihak-pihak terlibat menjalankan kajian kebolehlaksanaan serta merundingkan perjanjian muktamad.
“MoU itu tidak mengikat pihak-pihak berkenaan untuk membangunkan kemudahan atau membekalkan mahupun membeli elektrik,” menurut kenyataan itu.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa pelaksanaan kerjasama berkenaan tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan dan usaha wajar yang memuaskan, pemuktamadan perjanjian serta kelulusan yang diperlukan daripada lembaga pengarah, pemegang saham dan pihak berkuasa kawal selia.
“Penyertaan ekuiti, pelaburan, pembiayaan, kapasiti penjanaan, tarif dan terma pengambilan bekalan elektrik masih belum dipersetujui,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA