Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin, susulan harga minyak kacang soya dan minyak mentah yang lebih lemah, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata kebimbangan terhadap paras inventori Malaysia yang tinggi turut memberi kesan kepada sentimen pasaran.
“Kami mendapati paras sokongan segera sekitar RM4,500 satu tan dan paras rintangan pada RM4,650 satu tan, dengan arah pergerakan pasaran kekal sensitif terhadap perubahan harga minyak sayuran pesaing dan harga tenaga,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta baharu Disember 2026 menambah RM10 kepada RM4,326 satu tan, manakala kontrak Januari 2027 susut RM1 kepada RM4,461 satu tan dan Februari 2027 merosot RM18 kepada RM4,547 satu tan.
Kontrak Mac 2027 susut RM30 kepada RM4,628 satu tan, April 2027 turun RM31 kepada RM4,697 satu tan, manakala Mei 2027 berada pada RM4,735 satu tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 4,971 lot daripada 126,549 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 340,814 kontrak daripada 454,619 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi November Selatan meningkat RM130 kepada RM4,330 satu tan.
-- BERNAMA