BERITA TERKINI   Pengerusi BN Ahmad Zahid terima surat peletakan jawatan MB Negeri Sembilan - Setiausaha Agung BN | Tiada tarikh akhir ditetapkan ASEAN, China untuk tamatkan rundingan COC Laut China Selatan - PM Anwar | Kerajaan kekal stabil, tumpu pentadbiran bukan spekulasi rombakan Kabinet - PM Anwar | Malaysia dan China setuju tingkat kerjasama AI, pemindahan teknologi untuk perkukuh ekonomi ASEAN - PM Anwar | 

Pulau Pinang Perkukuh Infrastruktur Sokongan Industri Melalui CLQ Bernilai RM116 Juta

BATU KAWAN, 16 Nov (Bernama) – Pulau Pinang terus memperkukuh infrastruktur sokongan industri menerusi pembangunan projek penginapan pekerja berpusat (CLQ) Cassia Gardens by PDC bernilai RM116 juta yang mampu menempatkan sehingga 6,750 pekerja di Bandar Cassia, di sini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek yang dibangunkan di atas tapak seluas 2.15 hektar itu merupakan langkah strategik bagi mengimbangi kemasukan pelaburan bernilai tinggi dengan penyediaan kemudahan kebajikan tenaga kerja yang terancang, selamat dan kondusif.

“Projek Cassia Gardens by PDC dilaksanakan menerusi model Bina dan Pajak bersama Tasik Utara Services Sdn Bhd (TUSSB) yang menguruskan reka bentuk, pembinaan dan operasi bagi tempoh 30 tahun.

Ad Banner
Ad Banner

“Ia merangkumi empat blok bangunan lapan dan sembilan tingkat dengan 375 unit penginapan berkapasiti 6,750 pekerja dan dijangka siap pada Ogos 2028 sebelum mula beroperasi sepenuhnya pada 2029,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Cassia Gardens by PDC di Bandar Cassia di sini hari ini.

Chow berkata projek itu turut menyediakan pelbagai kemudahan sokongan termasuk klinik, medan selera, kedai runcit, gelanggang sukan, dewan serba guna dan kawasan rekreasi bagi memastikan keselesaan serta kebajikan pekerja yang bakal menginap di situ.

Beliau berkata Batu Kawan dan Bandar Cassia kini berkembang pesat sebagai koridor utama ekonomi negeri dengan Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) seluas 465.79 hektar menempatkan kira-kira 160 syarikat termasuk Lam Research, Micron, Bosch, Dexcom, ViTrox dan Inari.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya pelaburan RM6 bilion oleh Siliconware Precision Industries (SPIL) di Bandar Cassia Technology Park (BCTP) yang bakal mewujudkan hampir 3,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi turut memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor dan pembuatan termaju.

Sehubungan itu, Chow berkata Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) merancang pembangunan rangkaian CLQ secara menyeluruh di seluruh negeri, khususnya di Seberang Perai bagi memenuhi keperluan tenaga kerja seiring dengan perkembangan sektor perindustrian.

“Selain projek hari ini, kemudahan di Penang Science Park North oleh Biopolis Resources Sdn Bhd telah mula beroperasi pada 2025.

“Projek di Penang Science Park South (oleh Urban Pinnacle Sdn Bhd) dan BKIP3 (MYEG Lodging (NC) Sdn Bhd) pula dijangka siap menjelang 2030 manakala tapak di Taman Perindustrian Bukit Tengah, Kampung Dock, bakal ditawarkan pada tahun depan,” katanya.

Chow berkata penyediaan penginapan pekerja berpusat merupakan satu keperluan bagi memenuhi kehendak undang-undang serta piawaian penginapan pekerja yang perlu dipatuhi syarikat antarabangsa.

“Projek yang diumumkan itu, sama ada dilaksanakan PDC sendiri atau dengan kerjasama pihak swasta, dijangka menyediakan penginapan kepada hampir 30,000 pekerja apabila siap,” katanya.

Katanya pembangunan CLQ secara terancang di lokasi berhampiran kawasan perindustrian dapat mengurangkan gangguan terhadap persekitaran komuniti setempat, selain memastikan pekerja menikmati taraf kehidupan yang munasabah.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur asas termasuk rangkaian jalan raya di bahagian timur Bandar Cassia juga dijangka menjadi pemangkin kepada pembukaan kawasan baharu untuk pembangunan industri, komersial dan kediaman, selain meningkatkan kesalinghubungan dengan BKIP dan BKIP3.

– BERNAMA