Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Menjejaki Kelemahan COMEX
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini sejajar dengan kelemahan dalam prestasi Bursa Komoditi AS (COMEX).
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata harga emas jatuh pada awal dagangan Asia berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah selanjutnya oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan dolar US yang lebih kukuh terus membebani logam berharga itu.
“Bagaimanapun, pembeli muncul susulan penurunan ke arah penutupan Asia apabila sentimen risiko yang merosot telah memulihkan beberapa permintaan defensif.
“Buat masa ini, emas kekal terhimpit di antara tekanan kadar faedah AS yang lebih tinggi dan peranan tradisionalnya sebagai aset selamat, dengan dolar serta selera risiko yang lebih luas mungkin menentukan langkah seterusnya,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta November 2026 susut kepada US$3,864.40 setiap auns troy daripada US$3,900.60, Disember 2026 merosot kepada US$3,879.30 daripada US$3,915.90 dan Januari 2027 turun kepada US$3,880.40 daripada US$3,917.00.
Februari 2027, April 2027 dan Jun 2027 jatuh kepada US$3,908.30 setiap auns troy daripada US$3,944.90 pada penutupan sebelumnya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 102 lot berbanding 115 lot yang dicatatkan semasa Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka melemah kepada 160 kontrak daripada 169.
Pada penetapan tengah hari 13 Nov 2026 di London Bullion Market Association, emas fizikal ditetapkan pada US$3,890.85 setiap auns troy.
-- BERNAMA