Shenzhen Jadi Tumpuan Utama Pemimpin APEC, Bincang Masa Depan Ekonomi Asia-Pasifik
Daripada Kisho Kumari Sucedaram
SHENZHEN (China), 16 Nov (Bernama) -- Bandar Shenzhen di selatan China bakal menjadi tumpuan diplomasi ekonomi serantau apabila para pemimpin daripada 21 ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) berhimpun di sini bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 untuk merangka hala tuju ke arah perdagangan, inovasi, dan kerjasama serantau yang lebih kukuh.
Mesyuarat yang dijadual diadakan pada 18-19 November itu menandakan kali ketiga China menjadi tuan rumah kepada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC, selepas penganjuran terdahulu di Shanghai pada 2001 dan Beijing pada 2014.
Shenzen yang terletak di wilayah Guangdong di selatan China dan bersempadan dengan Hong Kong, berubah dari sebuah pekan nelayan kecil menjadi kota metropolis moden serta salah satu pusat ekonomi, pembuatan, dan teknologi terkemuka di negara itu, sejak dijadikan sebagai Zon Ekonomi Khas pertama pada 1980.
Bandar raya tersebut yang dihuni kira-kira 18.25 juta penduduk mencatatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berjumlah 3.87 trilion yuan pada 2025, sekali gus mencerminkan kepentingannya sebagai hab perdagangan dan pelaburan antarabangsa utama negara itu.
Bertemakan "Membina Komuniti Asia-Pasifik untuk Mencapai Kemakmuran Bersama", Kepengerusian APEC oleh China pada tahun ini tertumpu kepada tiga keutamaan iaitu keterbukaan, inovasi, dan kerjasama, yang bertujuan untuk memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta menangani cabaran baharu yang dihadapi oleh ekonomi global.
Agenda tersebut memberikan penekanan khusus terhadap usaha memajukan cadangan Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP), memperkukuh kesalinghubungan serantau, menggalakkan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), serta mendorong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
Minggu Pemimpin Ekonomi APEC didahului dengan Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) keempat dari 14 hingga 16 November, disusuli Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2026 pada 17 hingga 18 November yang dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 wakil kerajaan dan perniagaan dari seluruh rantau ini.
Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif akan menyediakan platform bagi pemimpin politik dan perniagaan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu utama ekonomi termasuk integrasi perdagangan serantau, pendigitalan, AI, pembangunan mampan, serta peluang yang muncul daripada Kawasan Teluk Guangdong-Hong Kong-Macao.
China, selaku tuan rumah berharap dapat mencapai persetujuan dalam kalangan semua ekonomi anggota berhubung Deklarasi Pemimpin APEC Shenzhen serta meraih hasil lebih nyata dalam bidang utama seperti perdagangan, kesalinghubungan, ekonomi digital, dan AI.
Presiden China Xi Jinping dijangka mengetuai penyertaan negara tuan rumah, manakala Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin merupakan antara pemimpin antarabangsa terkemuka yang dijangka menghadiri perhimpunan tersebut.
Trump, Xi dan Putin juga dijangka mengadakan pertemuan tiga hala pertama mereka di luar forum APEC.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai delegasi Malaysia, dijadualkan tiba di Shenzhen pada 18 November selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan sidang kemuncak berkaitan di Manila, Filipina.
Anwar dijadual menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC pada 18 November, susulan majlis perasmian dan ucaptama oleh Xi, serta ucapan oleh Putin.
Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 19 November, yang mana setiap ekonomi yang menyertainya akan diperuntukkan masa selama lima minit untuk menyampaikan kenyataan masing-masing.
Beliau juga dijadualkan menghadiri Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China, di samping mengadakan siri pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin, termasuk Xi, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon, dan Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee Ka-chiu.
Mengenai pertemuan dua hala dengan Xi, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, berkata kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), inisiatif 'Dua Negara, Taman Berkembar', pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, ekonomi digital dan AI, semikonduktor, pelancongan, serta kerjasama pelabuhan.
Kawalan Keselamatan dan Persiapan Dipertingkat
Dengan ketibaan para pemimpin dunia dan ribuan perwakilan, pihak berkuasa Shenzhen telah mempertingkat persiapan bagi memastikan penganjuran mesyuarat peringkat tinggi itu berjalan lancar.
Antara langkah yang dilaksanakan ialah sekatan sementara terhadap penggunaan dron dan objek terbang altitud rendah lain bermula 7 hingga 21 November, dengan sekatan itu diperluas ke seluruh bandar bermula 11 November, kecuali Zon Kerjasama Khas Shenshan.
Pihak berkuasa turut memperkenalkan langkah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh sidang kemuncak itu termasuk menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam serta mengamalkan aturan kerja yang fleksibel.
Lebih 1,000 sukarelawan dan anggota keselamatan telah ditugaskan bagi memastikan kelancaran acara berkenaan.
Tinjauan Bernama di Pusat Media Antarabangsa yang terletak di Pusat Konvensyen dan Pameran Shenzhen mendapati persiapan sedang giat dijalankan, dengan aktiviti di lokasi itu semakin rancak menjelang ketibaan kira-kira 5,000 petugas media yang akan membuat liputan acara itu.
Kapasiti pengangkutan awam juga dijangka ditingkatkan, dengan beberapa laluan metro terpilih beroperasi pada setiap dua minit manakala 50 laluan bas pengantara metro tambahan akan diperkenalkan bagi meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan.
China telah menganjurkan lebih 300 mesyuarat dan acara APEC yang melibatkan lebih 10,000 perwakilan, yang mencapai beberapa persefahaman bersama mengenai kerjasama sekali gus meletakkan asas yang kukuh bagi perhimpunan minggu ini.
APEC ialah forum antara kerajaan yang dianggotai 21 ekonomi di Lingkaran Pasifik bagi menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik, mewakili kira-kira tiga bilion penduduk dan 61.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global pada 2025.
Malaysia merupakan antara 12 ekonomi pengasas APEC. Negara pengasas lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.
China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertai APEC pada 1993, Chile pada 1994 manakala Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998, menjadikan jumlah keanggotaan penuh sebanyak 21 ekonomi.
Pada 2020, para Pemimpin Ekonomi APEC menerima pakai Visi Putrajaya APEC 2040 yang menetapkan hala tuju jangka panjang forum itu bagi kerjasama serantau.
-- BERNAMA