Sebanyak 88 Peratus Perniagaan Akui Langkah Tangani Gangguan Perdagangan Berkesan - HSBC

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Perniagaan di Malaysia sedang melakukan penyesuaian terhadap ketidaktentuan dan gangguan dalam perdagangan, dengan 88 peratus daripadanya mengakui langkah yang dilaksanakan itu adalah berkesan, menurut Tinjauan Global Trade Pulse 2026 oleh HSBC Malaysia.

Tinjauan yang menilai 10,000 perniagaan melibatkan 26 pasaran termasuk 250 syarikat beribu pejabat di Malaysia itu, mendapati lapan daripada 10 atau 86 peratus perniagaan Malaysia memaklumkan perubahan yang dilakukan terhadap rantaian bekalan mereka telah meningkatkan aliran tunai dan modal kerja.

Peratusan itu lebih tinggi berbanding purata global sebanyak 78 peratus dan hampir menyamai purata ASEAN sebanyak 88 peratus.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut tinjauan itu, sebanyak 53 peratus syarikat Malaysia telah meningkatkan tahap inventori bagi menguruskan kemungkinan berlaku gangguan berbanding 43 peratus di peringkat global.

HSBC memaklumkan perniagaan Malaysia juga terus yakin terhadap keupayaan mengembangkan perdagangan antarabangsa dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan 86 peratus yakin untuk berbuat demikian walaupun sektor perniagaan terus mengalami ketidaktentuan perdagangan dan peningkatan kos.

Ketua Penyelesaian Perdagangan Global bank itu Shreyas Krishna berkata Malaysia menyerlah menerusi pendekatan berdisiplin yang diambil oleh perniagaan dalam menangani ketidaktentuan perdagangan yang berterusan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Mereka melaksanakan perubahan secara terancang terhadap rantaian bekalan dan pengurusan aliran tunai bagi memperkukuh daya tahan operasi harian serta menyokong pertumbuhan pada masa hadapan,” menurutnya dalam kenyataan.

Bagaimanapun tekanan kos kekal menjadi kebimbangan apabila 80 peratus menjangkakan kos terus meningkat dalam tempoh dua tahun akan datang, melebihi purata global sebanyak 72 peratus manakala 68 peratus berkata mereka telah mengalami peningkatan kos.

Kos pengangkutan dan bahan mentah merupakan tekanan kos yang paling kerap dinyatakan dalam kalangan responden Malaysia, masing-masing mencatatkan 55 peratus, diikuti kos tenaga sebanyak 53 peratus.

Tinjauan itu turut mendapati 32 peratus perniagaan Malaysia terjejas secara negatif akibat tarif dan ketidaktentuan perdagangan manakala 28 peratus melaporkan penurunan hasil.

Mengenai perdagangan serantau, menurut HSBC 72 peratus perniagaan Malaysia memaklumkan mereka meningkatkan kebergantungan kepada Asia Tenggara berbanding 66 peratus di seluruh ASEAN dan 44 peratus di peringkat global.

“Penekanan terhadap pasaran serantau semakin ketara, dengan peningkatan tertinggi dicatatkan di Malaysia (54 peratus), Singapura (52 peratus) dan Indonesia (41 peratus).

“Pada masa sama, Malaysia semakin penting dalam rangkaian perdagangan serantau, dengan syarikat dari Bangladesh (41 peratus), Singapura (39 peratus) dan Indonesia (38 peratus) paling cenderung melaporkan peningkatan kebergantungan kepada Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut bank itu 94 peratus perniagaan Malaysia menggunakan sekurang-kurangnya satu perjanjian perdagangan bebas (FTA) walaupun hanya enam peratus melaporkan tidak berdepan halangan ketara untuk meningkatkan penggunaan FTA.

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) juga semakin mendapat tempat apabila 87 peratus perniagaan Malaysia telah menggunakan AI dalam sekurang-kurangnya satu fungsi berkaitan perdagangan manakala 93 peratus lagi telah menggunakan atau merancang untuk menggunakan peralatan AI.

Tinjauan itu turut mendapati 65 peratus perniagaan Malaysia mengalami peningkatan keperluan modal kerja sejak 2025 manakala 95 peratus menjangkakan bank memainkan peranan yang lebih penting dalam perniagaan mereka dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

-- BERNAMA