Samaiden, Parkland Meterai MoU Bagi Teroka Projek TBB Sehingga 1,000 MWac Di Bawah CRESS

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Samaiden Group Bhd (Samaiden) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Parkland Renewable Energy Sdn Bhd (Parkland) untuk mengadakan kerjasama meneroka projek tenaga boleh baharu (TBB) dengan jumlah kapasiti terpasang sehingga 1,000 megawatts arus ulang alik (MWac) di Semenanjung Malaysia. 

MoU itu dimeterai antara anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Samaiden Sdn Bhd (SSB) dan Parkland Renewable Energy, iaitu syarikat usaha sama 60 peratus milik Parkland Bhd dan 40 peratus oleh anak syarikat Xinyi Energy Holdings Ltd yang disenaraikan di Hong Kong. 

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, penyedia sistem TBB itu menyatakan bahawa projek tersebut akan dilaksanakan di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), yang membolehkan pengguna korporat mengakses kepada elektrik hijau melalui akses pihak ketiga ke grid elektrik kebangsaan. 

Ad Banner
Ad Banner

“Semua projek ini boleh dibangunkan secara individu atau merentasi pelbagai lokasi dan fasa, tertakluk kepada penilaian kebolehlaksanaan, kelulusan kawal selia dan menjamin pembeli korporat yang layak,” katanya.

Mengikut MoU itu, Samaiden menjelaskan bahawa SSB akan terus menyumbang kepakaran teknikal dan kejuruteraannya, termasuk menjalankan penilaian kebolehlaksanaan, reka bentuk projek dan perancangan teknikal, selain menyediakan input teknikal dan keperluan penyelarasan bagi permohonan CRESS serta penyerahan dokumen kawal selia yang lain. 

“MoU ini akan kekal berkuat kuasa selama 12 bulan dari tarikh ia dimeterai, kecuali ia dilanjutkan menerusi persetujuan bersama bertulis, dan boleh ditamatkan oleh mana-mana pihak dengan memberikan notis bertulis 30 hari lebih awal,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden Datuk Chow Pui Hee berkata MoU itu membuka peluang untuk meneroka potensi projek tenaga boleh baharu di bawah CRESS, memandangkan semakin banyak perniagaan berusaha ke arah mencapai sasaran penyahkarbonan.

“Menerusi kerjasama ini, kami menyasarkan untuk memanfaatkan kepakaran dan rekod prestasi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kami yang mantap bagi memperkukuh perniagaan teras EPCC kami, selain meletakkan Samaiden pada kedudukan untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam memenuhi permintaan korporat yang semakin meningkat terhadap tenaga elektrik hijau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Parkland Datuk Tan See Sen berkata kerjasama dengan Samaiden mencerminkan langkah seterusnya kumpulan itu untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh baharunya.

“Hasil gabungan pengalaman Parkland dalam pembangunan tanah dan mengenal pasti tapak projek yang sesuai, selain kepakaran teknikal Samaiden, kami melihat peluang untuk melaksanakan projek tenaga boleh baharu berskala lebih besar di bawah CRESS,” katanya.

-- BERNAMA