BERITA TERKINI   Pengerusi BN Ahmad Zahid terima surat peletakan jawatan MB Negeri Sembilan - Setiausaha Agung BN | Tiada tarikh akhir ditetapkan ASEAN, China untuk tamatkan rundingan COC Laut China Selatan - PM Anwar | Kerajaan kekal stabil, tumpu pentadbiran bukan spekulasi rombakan Kabinet - PM Anwar | Malaysia dan China setuju tingkat kerjasama AI, pemindahan teknologi untuk perkukuh ekonomi ASEAN - PM Anwar | 

Perak Garis Empat Keutamaan Perkukuh Pertumbuhan Ekonomi Negeri - MB

IPOH, 16 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak menetapkan empat keutamaan yang menjadi asas penting dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri menjelang tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata keempat-empat keutamaan itu ialah mempercepat realisasi pelaburan, menyediakan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri, memastikan kesiapsiagaan infrastruktur dan memperkukuh penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Pelaksanaan projek pelaburan perlu dipermudah dengan penyelesaian segera melibatkan pelbagai isu seperti tanah, utiliti dan penyelarasan agensi, manakala kesiapsiagaan infrastruktur seperti bekalan air, tenaga, logistik serta kemudahan digital mesti bergerak seiring dengan pembangunan industri.

Ad Banner
Ad Banner

"Selain itu, kerjasama institusi pendidikan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta industri mesti diperkukuh supaya anak Perak tidak terlepas peluang pekerjaan, manakala PMKS tempatan perlu dibantu bagi memenuhi piawaian agar dapat menyertai rantaian bekalan syarikat besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perak Economic Outlook 2027 di Hotel Casuarina@Meru, di sini hari ini.

Selain itu, Saarani berkata Perak merekodkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dengan nilai keluaran dalam negeri kasar (KDNK) meningkat kepada RM91.5 bilion pada 2025 berbanding RM80.5 bilion pada 2022.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya, kadar pertumbuhan ekonomi negeri juga melonjak kepada 5.7 peratus pada 2025, daripada  4.8 peratus (2024) dan 2.8 peratus pada 2023, sekali gus mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu sebanyak 5.2 peratus.

“Sektor pembuatan pula merekodkan pertumbuhan 15.2 peratus pada 2025, iaitu yang tertinggi di Malaysia, sekali gus membuktikan peranan sektor perindustrian yang semakin penting sebagai pemacu utama ekonomi negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, keyakinan terhadap ekonomi Perak turut dilihat melalui prestasi pelaburan swasta yang diluluskan, iaitu RM15.76 bilion pada 2025 berbanding RM6.61 bilion pada 2022. 

Katanya, ini penting kerana Perak ingin terus menjadi destinasi pilihan pelabur, khususnya dalam sektor industri bernilai tinggi yang mampu mewujudkan pekerjaan berkualiti, membuka peluang kepada perusahaan tempatan dan mengembangkan kegiatan ekonomi di seluruh negeri.

Sementara itu, Saarani berkata dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi, tumpuan kerajaan negeri kini adalah mempercepat pelaksanaan projek-projek strategik yang telah dirancang di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 dengan memberi perhatian kepada lima nod pertumbuhan strategik negeri.

Ia termasuk pembangunan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjong Malim, pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), projek Bandar Perindustrian Kerian (KIC), pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Teknologi Silver Valley (SVTP) di Kanthan.

“Semua projek ini menunjukkan bahawa lima nod pertumbuhan ekonomi Perak sedang bergerak melalui pelbagai peringkat pelaksanaan, daripada penyediaan infrastruktur dan kemasukan pelabur kepada pengukuhan kegiatan perindustrian.

“Bagaimanapun, kemajuan pembangunan fizikal dan kemasukan pelabur perlu disusuli dengan pertumbuhan aktiviti ekonomi yang sebenar.

“Oleh itu, kita mahu memastikan setiap pelaburan membuka peluang kepada perusahaan tempatan, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan memperkukuh rantaian nilai industri di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA