Keuntungan Bersih Guan Chong Melonjak Kepada RM277.65 Juta Pada Suku Ketiga
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih pengeluar ramuan makanan berasaskan koko, Guan Chong Bhd meningkat kepada RM277.65 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2026 daripada RM41.24 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Syarikat itu mengaitkan prestasi lebih baik berkenaan dengan pengurusan pembelian bahan mentah dan kedudukan jualan ramuan koko yang berkesan sekali gus meningkatkan margin dan keuntungan selain pengurangan kos pembiayaan susulan paras pinjaman yang lebih rendah sepanjang suku berkenaan.
Bagaimanapun, perolehan merosot 38.1 peratus kepada RM2.30 bilion daripada RM3.72 bilion sebelumnya terutamanya disebabkan harga jualan produk koko yang lebih rendah, seiring dengan penurunan harga biji koko, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih syarikat melonjak kepada RM654.24 juta daripada RM184.03 juta dalam tempoh sama tahun lepas manakala perolehan merosot kepada RM6.73 bilion daripada RM11.92 bilion sebelumnya.
Mengenai prospek, Guan Chong memaklumkan pihaknya terus memantau perkembangan pasaran dengan teliti dan melaksanakan langkah proaktif bagi memastikan bekalan biji koko yang konsisten dan terjamin.
Ia sekali gus menjamin kesinambungan operasi serta daya tahan syarikat selain mengurus modal kerja dengan cermat bagi mengekalkan tahap mudah tunai yang mencukupi.
“Melangkah ke hadapan, kumpulan kekal komited terhadap perniagaan terasnya dalam pemprosesan ramuan koko selain mengembangkan perniagaan dalam segmen coklat industri secara strategik dan mengoptimumkan pengeluaran selaras dengan perubahan keadaan pasaran.
“Permintaan terhadap coklat dijangka bertambah baik dalam tempoh enam bulan akan datang disokong oleh penyederhanaan harga koko daripada paras tinggi sebelum ini serta penggunaan coklat premium yang terus berdaya tahan,” jelasnya.
Guan Chong turut mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak dua sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026 yang akan dibayar pada 18 Dis, 2026.
-- BERNAMA