KJTS Group Peroleh Kontrak 20 Tahun Bagi Bina, Kendali Loji Penyejuk Hospital Di Bangkok
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Anak syarikat KJTS Group Bhd (KJTS) di Thailand, iaitu KJTN Engineering Company Ltd (KJTN Engineering) memperoleh perjanjian selama 20 tahun bagi mereka bentuk, membina dan mengendalikan loji penyejuk di Hospital Synphaet Ramintra Hospital, Bangkok.
Dalam satu kenyataan hari ini, KJTS menjelaskan bahawa perjanjian itu akan menyaksikan KJTN Engineering membiayai sebanyak 22.7 juta baht (100 baht = RM12.09) dalam perbelanjaan modal bagi kerja-kerja pembinaan dan pengurusan projek.
Menurut KJTS, KJTN Engineering akan mengendalikan dan menyelenggara loji penyejuk dan bekalan air sejuk sepanjang tempoh perkhidmatan selama 20 tahun, dan hospital tersebut akan membayar yuran air sejuk secara tetap setiap bulan, selain yuran boleh ubah berdasarkan penggunaan meter.
Syarikat itu menjelaskan bahawa perjanjian tersebut turut menetapkan pemindahan pemilikan loji penyejuk kepada Synphaet Company Ltd pada akhir tempoh berkenaan.
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian, KJTN Engineering juga akan menaik taraf loji penyejuk sedia ada kepada sistem yang lebih cekap tenaga, termasuk menggantikan beberapa peralatan utama dan memasang kawalan loji bersepadu dengan pemantauan jarak jauh masa nyata, agar loji itu dapat dikendalikan mengikut permintaan penyejukan dan keadaan cuaca,” menurutnya.
Sementara itu, kerja pembinaan dan pengurusan projek dijadualkan bermula pada Disember 2026 dan tamat pada Mei 2027, manakala perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan serta bekalan air sejuk dijangka bermula dari Mei 2027 hingga April 2047.
Pengarah Urusan Kumpulan KJTS Lee Kok Choon berkata perjanjian itu menandakan satu langkah penting bagi kumpulan itu di Thailand, memandangkan ia menerapkan model yang telah terbukti berjaya dalam sektor hospitaliti ke dalam sektor yang mana kebolehpercayaan adalah sama pentingnya, malah mungkin lebih penting lagi.
Lee berkata kepakaran kejuruteraan dan pengalaman mengendalikan operasi jangka panjang KJTS adalah penting kerana kumpulan itu bertanggungjawab ke atas loji itu sepanjang tempoh perjanjian selama 20 tahun.
“Bagi kami, Thailand telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil, dan perjanjian ini menunjukkan bahawa model penyejukan sebagai satu perkhidmatan yang berkesan bukan sahaja untuk hotel.
“Semakin banyak pemilik bangunan di sini mula menganggap penyejukan sebagai kos operasi jangka panjang yang perlu diuruskan dengan baik, bukan sekadar pembelian sekali sahaja.
“Ramai juga yang memilih untuk melaburkan modal mereka ke dalam perniagaan utama berbanding melaburkannya dalam loji penyejukan,” katanya.
-- BERNAMA