Kenanga IB Kekalkan Unjuran Lebihan Akaun Semasa 2026 Pada 2.1 Peratus Daripada KDNK

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengekalkan unjuran lebihan akaun semasa bagi 2026 pada 2.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun mengunjurkan lebihan yang lebih kecil pada 2027.

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu menyatakan lebihan dagangan barangan dijangka menyokong akaun semasa pada suku keempat 2026 memandangkan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) kekal kukuh.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan sektor teknologi akan menyederhana, bukannya berbalik arah dengan permintaan terhadap pengkomputeran masih berada pada peringkat awal kitaran pertumbuhan.

Ad Banner
Ad Banner

“Untuk mencapai paras 2.1 peratus, lebihan akaun semasa pada suku keempat 2026 perlu berjumlah kira-kira RM15.0 bilion, lebih dua kali ganda berbanding suku ketiga 2026.

“Ini memerlukan defisit pendapatan primer dikurangkan dengan ketara daripada paras tertinggi yang dicatatkan pada suku ketiga 2026. Perkara yang sama juga terpakai kepada defisit pendapatan perkhidmatan,” jelasnya.

Bank itu menambah bahawa ketibaan pelancong yang kukuh dijangka mengekalkan lebihan akaun perjalanan pada paras yang teguh.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi tempoh selepas 2026, Kenanga IB mengunjurkan defisit pendapatan dan perkhidmatan yang lebih besar sebagai kos struktur kitaran pelaburan AI selain pusat data yang sebahagiannya dikitar semula melalui pendapatan yang dilabur semula.

Bank itu turut menyatakan bahawa peraturan pelesenan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap cip AI termaju menimbulkan risiko kepada pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pusat data serta import  modal.

Mengenai unjuran ringgit pada akhir tahun, Kenanga IB mengekalkan unjuran kadar pertukaran dolar AS/ringgit pada RM4.00 bagi akhir 2026 dan RM3.90 bagi akhir 2027.

“BNM menyatakan bahawa kadar pertukaran dolar AS/ringgit bergerak seiring dengan perubahan jangkaan terhadap dasar Rizab Persekutuan AS (Fed), justeru pendirian Fed yang masih cenderung mengetatkan dasar monetari meningkatkan risiko penyusutan nilai ringgit dalam tempoh terdekat,” jelasnya.

Sokongan struktur terhadap ringgit kekal kukuh, disokong oleh lebihan akaun semasa yang berterusan, aliran masuk dana ke dalam pasaran bon serta penghantaran pulang dana secara berterusan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Sementara itu, Kenanga IB mengunjurkan BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus bagi baki 2026, sebelum menaikkannya sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku pertama 2027 sebagai langkah menormalkan kadar faedah.

“BNM menyifatkan pendiriannya sebagai berhemah namun sentiasa berwaspada serta melihat pertumbuhan ekonomi berjalan tanpa mencetuskan ketidakseimbangan.

“Tekanan kos dalam rantaian bekalan semakin meningkat dan lebih banyak firma merancang untuk memindahkan kos tersebut, namun pemindahan kos kepada barangan siap kekal terhad. 

“Kami melihat kenaikan pada suku pertama 2027 sebagai langkah menormalkan kadar faedah, bukannya mengetatkan dasar monetari dan diikuti dengan tempoh pengekalan kadar yang panjang,” tambahnya.

-- BERNAMA