IHP Malaysia Diunjur Kekal Rendah Pada 1.8 Peratus Pada 2026, 1.6 Peratus Pada 2027 – CGS International
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd mengunjurkan pertumbuhan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia kekal rendah pada 1.8 peratus bagi baki 2026 berbanding unjuran sebelumnya sebanyak 1.9 peratus manakala IHP bagi 2027 diunjur berada dalam julat 1.6 hingga 2.1 peratus.
Firma pembrokeran itu memaklumkan unjuran IHP yang lebih rendah mencerminkan jangkaan kesan pemindahan harga domestik yang terkawal, disokong oleh ringgit yang lebih kukuh.
“Data IHP terkini mengukuhkan pandangan kami bahawa tekanan inflasi asas kekal terkawal. Inflasi keseluruhan mencatatkan purata 1.8 peratus tahun ke tahun dalam tempoh 10 bulan pertama 2026 (10 bulan pertama 2025: 1.4 peratus).
"Tekanan inflasi yang terus sederhana, susulan kesan pemindahan kos yang terhad menyokong semakan turun terhadap unjuran inflasi kami,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Oktober 2026 daripada 1.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Jabatan itu memberitahu IHP turut meningkat kepada 137.7 mata daripada 135.1 mata pada Oktober 2025, dipacu oleh kumpulan pengangkutan yang mencatatkan kenaikan ketara sebanyak 4.2 peratus daripada 2.5 peratus pada September 2026.
Selain itu, CGS International menyatakan pertumbuhan IHP teras yang terus sederhana menunjukkan kenaikan inflasi keseluruhan pada Oktober sebahagian besarnya dipacu oleh komponen pengangkutan dan berkaitan utiliti, bukannya tekanan permintaan yang meluas.
“Kami berpendapat perniagaan masih berdepan kekangan untuk memindahkan sepenuhnya kos yang lebih tinggi kepada pengguna,” tambahnya.
-- BERNAMA