BERITA TERKINI   Liga Super: Negeri Sembilan FC 0-2 Kuching City FC | 

Malaysia Dijangka Kekal Catat Momentum Pelaburan Kukuh Pada 2027

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

SHENZHEN (China), 20 Nov (Bernama) -- Momentum pelaburan Malaysia dijangka kekal kukuh pada 2027 sekiranya ekonomi terus berkembang antara empat hingga lima peratus, disokong prestasi perdagangan, daya tahan ekonomi dan minat berterusan pelabur, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata prestasi pelaburan Malaysia kekal memberangsangkan apabila jumlah pelaburan meningkat 20 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, mencerminkan hubungan positif dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Ad Banner
Ad Banner

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga, menjadikan pertumbuhan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 sebanyak 5.6 peratus.

Menurut Tengku Zafrul, terdapat hubungan positif antara prestasi ekonomi dan pelaburan memandangkan perdagangan serta pelaburan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK.

Justeru itu, katanya prospek pelaburan pada 2027 juga bergantung pada pertumbuhan ekonomi kerana perdagangan dan pelaburan merupakan antara faktor yang memacu pertumbuhan KDNK.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sekiranya ekonomi terus berkembang sekitar empat hingga lima peratus tahun depan, saya berpendapat Malaysia akan terus mencatat pertumbuhan pelaburan yang kukuh,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) hari ini.

Tengku Zafrul berkata platform APEC juga penting dalam memudah cara kerjasama ekonomi yang lebih erat antara ekonomi anggota, khususnya ketika ekonomi global berpecah dan ketegangan geopolitik menjejaskan perdagangan serta pelaburan.

Beliau berkata ekonomi APEC secara keseluruhannya menyumbang kira-kira 60 peratus daripada KDNK global dan 50 peratus perdagangan dunia, sekali gus menjadikan forum itu wadah penting bagi ekonomi anggota membincangkan cabaran bersama dan memperkukuh kerjasama.

Katanya, Malaysia sebagai sebuah ekonomi bersaiz sederhana boleh memanfaatkan platform itu untuk berinteraksi dengan ekonomi utama termasuk Amerika Syarikat, China dan Rusia, selain menyuarakan kebimbangan serta kepentingannya.

“Sektor perniagaan dan kerajaan boleh bekerjasama bagi memastikan ekonomi kekal berdaya tahan, khususnya dalam dunia yang semakin berpecah dan ketika geopolitik semakin menjadikan ekonomi sebagai senjata,” katanya.

Mengenai prospek pelaburan hasil daripada Minggu Pemimpin APEC, Tengku Zafrul berkata syarikat yang mengadakan perbincangan dengan kerajaan dan MIDA menyatakan minat dalam sektor semikonduktor, tenaga, kecerdasan buatan (AI) serta ekosistem AI yang lebih luas.

Beliau berkata potensi pelaburan itu tertumpu terutamanya pada aktiviti fabrikasi, pembekalan penyelesaian tenaga boleh baharu termasuk bateri dan teknologi solar, serta industri sokongan.

Katanya, sebahagian syarikat berkenaan telah beroperasi di Malaysia dan sedang merancang untuk mengembangkan perniagaan, manakala syarikat lain sedang meneliti potensi pelaburan, dengan kerajaan terus mengadakan perbincangan serta memudah cara perancangan mereka.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan potensi pelaburan bernilai RM9.2 bilion hasil penglibatan Malaysia dalam APEC, mencerminkan minat berterusan terhadap negara ini. Bagaimanapun, pelaksanaan sebenar projek berkenaan kekal penting.

“Pelaksanaan di lapangan akan menjadi perkara utama. Jadi, cara kita memudah cara pengumuman ini juga penting, begitu juga jumlah pekerjaan yang dapat diwujudkan,” kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata Malaysia dan ASEAN juga akan terus mendapat manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan serta keupayaan mengekalkan hubungan dengan ekonomi utama dunia, sekali gus meletakkan rantau ini sebagai destinasi penting bagi perdagangan dan pelaburan ketika landskap global terus berubah.

-- BERNAMA