Adrian Marcellus Dilantik Ketua Pegawai Eksekutif MDEC
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan pelantikan Adrian Marcellus sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi digital Malaysia selain melonjakkan aspirasi negara untuk muncul sebuah Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.
MDEC menerusi kenyataannya, memaklumkan Adrian yang sebelum ini berkhidmat sebagai CEO MyDIGITAL Corporation, menerajui MDEC ketika Malaysia di fasa penting dalam usaha menterjemahkan pelaburan bidang AI, pusat data dan infrastruktur digital kepada peningkatan produktiviti, inovasi tempatan, pekerjaan bernilai tinggi selain peluang ekonomi.
Pengerusi MDEC Ganesh Kumar Bangah menyifatkan pengalaman Adrian dalam transformasi digital negara dan sektor swasta, akan terus memperkukuh usaha agensi berkenaan dalam merealisasikan aspirasi AI Malaysia serta mencapai hasil yang dapat dinilai.
Menurut MDEC, sebagai CEO MyDIGITAL Corporation dan Ketua MYCentre4IR, Adrian juga telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 (MD2030) yang merangkumi Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara; memulakan penubuhan Unit Nukleus Kerajaan (kini dikenali sebagai GovTech, beroperasi di bawah Kementerian Digital) dan Pejabat AI Nasional (kini AI Malaysia) dan mengembangkan program Digital Rakyat.
Beliau juga menerusi MYCentre4IR, telah bekerjasama dengan Forum Ekonomi Dunia dan rakan industri bagi mempercepat penerimagunaan teknologi serta transformasi industri, termasuk menerusi inisiatif Kluster Industri Peralihan (TIC).
Sementara itu, Adrian berkongsi harapan beliau untuk terus melonjakkan pencapaian MDEC dan bekerjasama erat dengan pasukan MDEC, agensi kerajaan dan rakan industri bagi membuka ruang serta peluang gelombang pertumbuhan ekonomi digital seterusnya.
-- BERNAMA