ADTEC, Asian Supply Base Meterai MoU Perkukuh Pembangunan Bakat Teknikal

LABUAN, 9 Ogos (Bernama) -- Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) memeterai kerjasama strategik bagi memperkukuh pembangunan bakat teknikal dan meningkatkan pendedahan dalam industri kepada pelatih.

ASB menerusi hantaran terbaharu di laman Facebook baru-baru ini memaklumkan, kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu dijangka membuka peluang kepada pelaksanaan inisiatif bersama dalam latihan teknikal dan profesional, pembangunan kecekapan, perkongsian kepakaran dan pendedahan industri, selaras dengan keperluan industri semasa.

Menurutnya MoU itu dimeterai di antara Ketua Pengarah JTM Datuk Rospiagos Taha dengan Ketua Pegawai Eksekutif ASB Datuk Japar Esteban di Wisma Asian Supply Base di sini baru-baru ini.

Ad Banner

Majlis memeterai MoU itu disaksikan oleh Ketua Jabatan Sumber Manusia ASB Zulainahwaty Sulaiman serta wakil kanan JTM dan kampus ADTEC.

ASB memaklumkan kerjasama itu adalah inisiatif strategik untuk memperkukuh hubungan di antara industri dengan institusi pendidikan teknikal dan latihan kemahiran terutama dalam melahirkan tenaga kerja yang dilengkapkan dengan kecekapan teknikal yang relevan.

“Kerjasama itu juga turut mencerminkan komitmen ASB dan ADTEC JTM untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, cekap dan berdaya saing yang mampu memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah,” menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut ASB menerusi kerjasama itu, pelatih dijangka mendapat pendedahan yang lebih luas terhadap amalan sebenar dalam industri manakala perkongsian kepakaran dan pengetahuan antara pengamal industri dengan institusi latihan boleh membantu memastikan program latihan kekal relevan dengan keperluan di tempat kerja.

Syarikat itu memaklumkan kerjasama itu juga dijangka menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan dan memperkukuh bekalan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan industri di Labuan dan kawasan sekitarnya.

-- BERNAMA