MBSB IB Jangka Ekonomi Malaysia Berkembang 5.9 Peratus Tahun Ke Tahun Pada Suku Kedua 2026
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjangka ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, tinggi sedikit daripada anggaran awal sebanyak 5.8 peratus.
Menurut MBSB IB dalam nota penyelidikan hari ini, pertumbuhan lebih tinggi itu dijangka didorong terutamanya oleh sektor pembinaan dan imbangan perdagangan yang lebih kukuh manakala sektor pembuatan dan perkhidmatan dijangka sejajar dengan bacaan awal.
“Kami menjangka pertumbuhan akan sederhana pada separuh kedua 2026 didorong oleh kesan asas yang menggalakkan berkurangan dan harga tenaga yang tinggi serta ketidaktentuan geopolitik yang memberi impak kepada permintaan.
“Bagi 2026, kami menjangka Malaysia dapat mengekalkan pertumbuhan kira-kira 5.0 peratus untuk tahun ketiga berturut-turut, mengambil kira pertumbuhan yang berdaya tahan pada separuh pertama 2026 dan pertumbuhan perdagangan luar yang lebih kukuh,” menurutnya.
Menurut MBSB IB, permintaan domestik dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan yang penting, seperti yang dapat dilihat daripada pertumbuhan kukuh dalam aktiviti perdagangan pengedaran termasuk pertumbuhan berterusan dalam perdagangan runcit dan peningkatan perbelanjaan untuk kenderaan bermotor.
“Perdagangan luar turut dijangka menyokong pertumbuhan suku kedua 2026. Permintaan berkaitan elektrik dan elektronik yang kukuh serta aktiviti eksport semula menyokong prestasi eksport,” katanya.
Sementara itu, MBSB IB menjangka pertumbuhan sektor perkhidmatan kekal hampir kepada anggaran awal sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun.
“Perdagangan pengedaran berkembang pesat sebanyak 12.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026 walaupun pertumbuhan perdagangan runcit lebih sederhana pada 6.7 peratus tahun ke tahun.
“Bersama-sama dengan guna tenaga yang stabil, aktiviti pelancongan dan inflasi yang terkawal, data menunjukkan aktiviti sektor perkhidmatan kekal berdaya tahan walaupun momentum pengguna sedikit sederhana menjelang akhir suku tahun,” menurutnya.
-- BERNAMA