Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Disokong Prestasi Positif Di Wall Street, OPR Stabil
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Khamis seiring dengan prestasi positif di Wall Street selain sentimen turut disokong oleh keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.39 mata kepada 1,715.13, daripada paras penutup 1,708.74 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 2.42 mata kepada 1,711.16 dan bergerak turun naik antara paras 1,708.47 dan 1,716.23 sepanjang hari dagangan.
Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 625 berbanding 497, manakala 591 kaunter tidak berubah, 1,059 tidak diniagakan dan 17 digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.90 bilion unit bernilai RM3.21 bilion daripada 4.20 bilion unit bernilai RM3.52 bilion pada Rabu.
BNM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan ekonomi global kekal berdaya tahan, disokong pengembangan teknologi global yang kukuh, keadaan bekalan yang bertambah baik dan pasaran pekerja yang stabil.
Inflasi menurun sedikit dalam beberapa bulan kebelakangan ini tetapi dijangka kekal tinggi berikutan kesan tertunda pindahan kos tenaga kepada harga pengguna, menurut bank pusat.
Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup lebih tinggi dipengaruhi terutamanya oleh prestasi positif di Wall Street semalaman, apabila keyakinan terhadap prospek kadar faedah mengatasi kebimbangan mengenai tekanan inflasi global yang berterusan.
“Sentimen ini turut disokong oleh pertumbuhan pekerjaan sektor swasta AS yang lebih lemah daripada jangkaan, yang mengukuhkan keyakinan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin mempunyai skop yang lebih besar untuk melonggarkan dasar monetari,” katanya.
Mohd Sedek berkata pasaran memperoleh momentum seterusnya selepas rehat tengah hari susulan keputusan BNM untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, yang selaras dengan jangkaan pasaran.
Keputusan itu memberikan kejelasan yang lebih jelas mengenai prospek dasar monetari domestik dan meningkatkan minat belian dalam kaunter berkaitan indeks, katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.58, Public Bank menambah tujuh sen kepada RM5.00, CIMB Group naik 15 sen kepada RM7.99, Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM13.68, manakala IHH Healthcare berkurangan sembilan sen kepada RM7.99.
Dalam kalangan saham paling aktif, Zetrix AI menambah dua sen kepada 24 sen, Ingenieur Gudang menokok setengah sen kepada 4.5 sen, Ni Hsin Group dan Key Asic naik satu sen masing-masing kepada 27.5 sen dan tujuh sen dan Salutica meningkat 1.5 sen kepada 11.5 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, MI Technovation melonjak 27 sen kepada RM5.82, Gamuda meningkat 25 sen kepada RM4.67, United Plantations naik 24 sen kepada RM33.02, Kee Ming Group menokok 23 sen kepada RM2.41 dan Kerjaya Prospek Group menambah 20 sen kepada RM3.08.
Dalam kalangan saham paling rugi, Nestle susut RM2.04 kepada RM94.48, Fraser & Neave turun 36 sen kepada RM24.38, Kuala Lumpur Kepong berkurangan 32 sen kepada RM22.38, MISC merosot 23 sen kepada RM7.77, dan Dutch Lady menyusut 20 sen kepada RM31.60.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 56.51 mata kepada 12,683.34, Indeks FBMT 100 menokok 56.00 mata kepada 12,491.44, Indeks FBM Emas Shariah menambah 32.22 mata kepada 12,442.57, Indeks FBM 70 naik 120.70 mata kepada 17,905.28, dan Indeks FBM ACE melonjak 25.94 mata kepada 5,187.66.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 128.06 mata kepada 20,206.83, Indeks Tenaga meningkat 8.08 mata kepada 810.03, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.38 mata kepada 187.16, manakala Indeks Perladangan menyusut 33.45 mata kepada 9,494.02.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.39 bilion unit bernilai RM2.88 bilion daripada 2.67 bilion unit bernilai RM3.20 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 995.66 juta unit bernilai RM132.91 juta daripada 942.18 bilion unit bernilai RM133.94 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 515.65 juta unit bernilai RM199.58 juta daripada 592.31 juta unit bernilai RM176.71 juta pada Rabu.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 292.61 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (398.97 juta), pembinaan (151.66 juta), teknologi (935.94 juta), perkhidmatan kewangan (93.01 juta), hartanah (136.80 juta), perladangan (47.45 juta), amanah pelaburan hartanah (16.58 juta), dana tertutup (156,700), tenaga (87.72 juta), penjagaan kesihatan (104.89 juta), telekomunikasi dan media (25.23 juta), pengangkutan dan logistik (39.74 juta), utiliti (64.62 juta), dan amanah perniagaan (67,300).
-- BERNAMA