BERITA TERKINI   Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara Presint 20 pada 6.36 petang | LTdL 2026: Pelumba Tudor Pro Cycling Team Lennart Jasch menang peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai | Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah akan dikebumikan di sebelah pusara Datin Seri Endon Mahmood di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya - Fahmi | 

Untung Bersih Poh Kong Lonjak 60 Peratus Kepada RM193.37 Juta

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Poh Kong Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi, melonjak 59.7 peratus kepada RM193.37 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Julai 2026 (TK2026) daripada RM121.10 juta yang diraih setahun sebelumnya.

Perolehan hasil kumpulan turut menokok kepada RM1.93 bilion daripada RM1.69 bilion, maklum peruncit barangan kemas itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh suku keempat, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM36.20 juta daripada RM22.68 juta pada tempoh sama tahun lepas manakala hasil menokok kepada RM378.36 juta berbanding RM365.50 juta.

Ad Banner

“Peningkatan hasil itu disumbangkan terutamanya oleh kenaikan harga emas yang ketara bagi sepanjang tempoh suku di bawah kajian,” maklum kumpulan itu.

Poh Kong juga menyatakan sebahagian besar hasil itu disumbangkan daripada segmen runcitnya.

Menyentuh aspek prospek, kumpulan berkenaan menyifatkan ekonomi Malaysia kekal dalam kedudukan baik walaupun berdepan persekitaran global mencabar dan dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, permintaan luaran yang lebih lemah, inflasi dan turun naik mata wang.

Ad Banner
Ad Banner

“Kami percaya langkah pembelian emas oleh bank-bank pusat, perbelanjaan pengguna dan aliran masuk dana asing untuk aset selamat susulan ketidaktentuan global, akan terus memacu permintaan bagi barang kemas serta produk pelaburan emas,” maklum kumpulan itu.

Pada masa sama, kumpulan itu akan terus memantau impak ketidaktentuan semasa terhadap operasi syarikat, memenuhi tanggungjawab kewangan selain akan sentiasa menilai prestasi syarikat secara berterusan.

“Tanpa mengambil kira faktor di luar jangka, kumpulan yakin telah melaksanakan langkah-langkah wajar bagi mengharungi cabaran mendatang bagi tempoh tahun kewangan berakhir pada 31 Julai 2027.”

Poh Kong juga mencadangkan pemberian dividen akhir satu peringkat sebanyak 5.00 sen sesaham biasa untuk tahun kewangan 2026, peningkatan daripada 3.00 sen sesaham bagi tahun kewangan sebelumnya.

Cadangan dividen yang berjumlah RM20.52 juta adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan yang akan datang, maklum kumpulan itu.

-- BERNAMA