LYC Healthcare Berdepan Digantung Dagangan, Nyahsenarai Selepas Gagal Lantik Penaja
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- LYC Healthcare Bhd berdepan penggantungan dagangan pada 27 Okt, 2026 dan akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia Securities Bhd dua hari kemudiannya.
Tindakan itu dibuat susulan kegagalan syarikat melantik penaja baharu selepas penamatan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd sebagai penajanya pada 16 Okt, 2026, menurut syarikat penjagaan kesihatan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
LYC Healthcare menyatakan penyahsenaraian yang dicadangkan itu boleh ditangguhkan jika syarikat mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities menjelang 26 Oktober.
Bagaimanapun, syarikat itu memaklumkan dagangan sekuritinya tetap akan digantung pada 27 Oktober walaupun keputusan rayuan belum dimuktamadkan.
Apabila dinyahsenarai, LYC Healthcare akan terus beroperasi sebagai entiti tidak tersenarai dan boleh meneruskan aktiviti perniagaan serta melaksanakan penyusunan semula korporatnya.
“Syarikat masih mampu meneruskan operasi dan perniagaannya serta melaksanakan penyusunan semula korporat selain pemegang sahamnya masih boleh mendapat ganjaran daripada prestasi syarikat.
“Bagaimanapun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disenaraikan dan diniagakan di Bursa Securities,” jelasnya.
-- BERNAMA